fbpx
Ikan tenggalan ‘tua’ bersaiz 1.2 kilogram (kiri) dan Azmi dengan tangkapannya menggunakan kayak (kanan).

Riang ria memancing di Tasik Wetland Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR Putrajaya, ada tasik-tasik buatan yang sangat luas. Ia berfungsi sebagai kawasan tadahan banjir dan tempat rekreasi awam. Tasik ini secara tidak langsung menjadi habitat bagi hidupan liar seperti burung, reptilia dan pelbagai spesies ikan.

Namun, bukan semua tasik-tasik ini boleh dilakukan aktiviti memancing.

Antara tasik yang membenarkan akti­viti memancing, selain di Floria adalah di Pusat Rekreasi Air atau lebih dikenali sebagai Wetland Putrajaya.

Saya berkesempatan meninjau potensi pancingan terkini bersama Abang Din selaku ‘orang lama’ di Tasik Wetland.

Island fishing

Pusat Rekreasi Air Putrajaya telah membuka satu pakej terbaharu iaitu Island Fishing.

Terdapat dua buah pulau yang pengunjung boleh memancing di atasnya iaitu Pulau Temoleh dan Pulau Tengul.

Bayaran untuk seorang adalah RM25 jika menebing di sepanjang tasik, RM55 (memancing di atas pulau) dan RM50 ringgit (memancing menggunakan kayak).
Ikan yang dipancing dibenarkan untuk dibawa pulang (terhad kepada spesies ikan dibenarkan sahaja).

Kaunter pembelian tiket dibuka pada pukul 8 pagi, dan aktiviti meman­cing dibenarkan pada pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Tasik Wetland ini mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar tempatan, antaranya adalah lampam, temoleh, kelah, tenggalan, bujuk, ketutu, belida, tengas, sebarau, jelawat dan kerai.

Misi bermula

Seawal pukul 8 pagi, saya bersedia di tempat peluncuran kayak.

Selesai taklimat keselamatan, saya dapatkan life jacket dan mula mendayung kayak ke Pulau Temoleh bersama Abang Din.

Perlu diingatkan, jika pengunjung ingin memancing di pulau, jangan membawa plastik.

Petugas akan memeriksa beg dan peralatan yang dibawa supaya tidak berlaku pembuangan sampah di pulau.

Jika membuang sampah merata-rata, denda RM10 akan dikenakan bagi setiap satu plastik yang dijumpai.

Misi saya kali ini adalah untuk memburu sebarau yang sedang berpesta di sekeliling pulau tersebut.

Abang Din memberitahu, ikan sebarau selalu frenzy akhir-akhir ini dan gewang sesudu sangat efektif untuknya.

JELAS kelihatan Pulau Temoleh dan Pulau Tengul yang dibuka untuk pakej ‘Island Fishing’.

Setibanya saya di pulau, semua kelengkapan memancing telah disediakan untuk teknik mengilat dan pancingan dasar.

Bagi teknik pancingan dasar, umpan yang saya gunakan adalah dedak dan pelet ikan istimewa hasil air tangan Abang Din.

Ramuan dedak yang dibancuhnya ialah pelet 6363, pelet 920 (serbuk), dedak ayam dan roti.

Dia membancuh semua ramuan tadi, dan memasukkan sedikit demi sedikit air sehingga tekstur umpan menjadi seperti tanah liat. Sukatan air penting agar umpan tidak menjadi terlalu lembik atau kering.

‘Kena’ ikan

Usai mengepal umpan di mata kail bom, umpan dilontar di lokasi sekitar 15-20 meter dari tebing. Kemudian, saya mula mengilat sesudu warna emas di sekeliling pulau.

Tidak perlu ambil masa lama, teknik kayuhan laju dan henti berhasil memikat seekor sebarau.

Joran berkekuatan 2-4lb saya membengkok kuat, walaupun hanya seekor sebarau baya 300-400 gram.

Itu merupakan kali pertama saya merasa sendiri tarikan daripada spesies ikan pemangsa ini. Hasil daripada mengilat ini, saya berjaya mendaratkan empat ekor sebarau.

Awal petang itu, loceng penggera yang diletakkan di salah satu joran milik Abang Din berbunyi.

Dia meminta saya untuk mendaratkan ikan tersebut.

Saya dengan berhati-hati mengayuh kekili, ikan ini agak kasar, tali keluar dan masuk diselang-seli dengan bunyi drag.

Akhirnya, ikan berjaya sampai ke tebing pulau, dan ia merupakan seekor ikan tenggalan ‘purba’ (tua) yang besar.

Itu merupakan tangkapan yang paling istimewa buat saya kerana pertama kali dapat ikan tenggalan.

Tidak lama kemudian, bunyi drag berdesing dari kekili satu lagi, dan kali ini seekor ikan baung kuning berjaya dinaikkan dengan saiz dalam anggaran dua kilogram.

Sesi memancing selesai pada pukul 5.30 petang, terlihat rakan yang memancing dengan kayak menunjukkan hasil tangkapannya, ikan peacock bass.

Nampaknya, spesies ikan pendatang ini semakin cepat membiak dan perlukan kawalan oleh pemancing dengan segera sebelum menjadi barah membenam ikan-ikan tempatan di tasik ini.

Buat para pemancing yang ingin memancing di sini, anda boleh datang untuk merasai sendiri suasana dan kekuatan ikan-ikan di Tasik Wetland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN