SHAH ALAM – Kes demam denggi di Selangor mencatatkan penurunan ketara sebanyak 61 peratus dengan 36,799 kes sepanjang tahun lalu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, statistik menunjukkan hanya 23,565 kes denggi dilaporkan dalam tempoh 53 Minggu Epidemiologi (ME).
“Sehingga 3 Januari lalu, jumlah itu menurun dengan signifikan berbanding 60,364 kes bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Sebanyak sembilan kematian dilaporkan berbanding 16 kes sebelum ini,” katanya hari ini.
Beliau memberitahu, Selangor menjadi negeri ketiga yang mencatatkan peratusan penurunan kes denggi tertinggi di seluruh negara.
Jelasnya, Perak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 73 peratus dengan 6,924 kes manakala Perlis turun 70 peratus iaitu 250 kes.
“Namun, populasi bagi dua negeri itu jauh lebih rendah berbanding Selangor dengan populasi lebih 7 juta orang dan kawasan bandar yang padat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata Jamaliah, kerajaan negeri akan meneruskan kempen Kembara Kesedaran Denggi Selangor dengan penambahbaikan serta penyertaan lebih ramai komuniti termasuk memperkasakan peranan pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA). – KOSMO! ONLINE














