DUNGUN – Fenomena cuaca sejuk yang melanda Kelantan dan Terengganu kini sehingga serendah 18 darjah Celsius menyebabkan sebahagian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, Hulu Dungun dekat sini ke sekolah dengan memakai baju sejuk sejak pembukaan sekolah pada Ahad lalu.
Tinjauan di pekarangan sekolah itu pada pukul 7 pagi semalam mendapati, bukan hanya murid-murid, malah ibu bapa juga mengenakan pakaian tebal sewaktu menghantar anak-anak.
Guru Besar SK Pasir Raja, Mohd. Nor Azizi Kamarudin berkata, persekitaran Kampung Pasir Raja termasuk kawasan sekolah dilitupi kabus pada awal pagi sejak akhir minggu lalu.
“Sudah beberapa hari kawasan ini sejuk pada awal pagi. Paling sejuk, pada Ahad lalu, suhu mencecah hingga 18 darjah Celsius, sebelum meningkat kepada 20 darjah Celcius pada semalam (kelmarin).
“Walaupun suhu sejuk, semua 43 murid sekolah ini masih bersemangat ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, penurunan suhu sehingga 19 darjah Celsius terutama pada waktu malam direkod di Gua Musang.
Seorang murid Tahun Empat, Nik Khayra Nor Syifa Nik Mohd. Kamal, 10, berkata, dia terpaksa mandi air suam yang dijerang ibunya setiap pagi sebelum ke sekolah bagi mengelak kesejukan.
“Kalau mandi air paip memang sejuk, ibu jerang air panas sebelum saya ke sekolah. Pakai baju sejuk juga,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena cuaca sejuk melanda Terengganu dan Kelantan ketika ini merupakan antara ciri-ciri Monsun Timur Laut (MTL).
“Waktu ini, angin timur laut yang berasal dari benua Siberia sedang bergerak ke rantau kita.
“Angin ini pada asalnya bersifat sejuk dan kering, namun apabila melalui Laut China Selatan, ia menyerap wap air dari permukaan laut lalu menjadi lebih lembab. Angin ini dikenali sebagai luruan sejuk,” katanya ketika dihubungi semalam.
Namun, ujarnya, berdasarkan rekod suhu di Terengganu, cuaca lazimnya kembali normal mulai bulan depan. -KOSMO! ONLINE














