DERUMAN enjin motosikal yang bergema di sekitar Kamunting, Perak bukan sekadar menandakan pergerakan sebuah konvoi, sebaliknya menjadi simbol keprihatinan dan semangat kebajikan apabila Kelab Motosikal Salam Taiping dengan kerjasama Ride Kembara Asnaf (RIKA) 1 Malaysia menganjurkan program Rider Agih Sumbangan kepada 30 keluarga asnaf di kawasan tersebut.
Program kebajikan itu berlangsung pada 20 Disember lalu bertempat di Balai Lintang, Masjid Jamek Kamunting, Perak.
Penganjuran program berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Rosli Che.
Selain menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kebajikan yang digerakkan oleh kelab permotoran, beliau turut menyumbangkan minum petang kepada para peserta serta penerima sumbangan.
Program itu juga menerima sambutan amat baik daripada pihak pengurusan Masjid Jamek Kamunting.
Menurut Pengerusi Kelab Motosikal Salam Taiping, Mohd. Nordin Mohd Yusoff, program berkenaan telah dirancang lebih sebulan lalu bersama pihak RIKA 1 Malaysia dengan Kamunting dipilih sebagai lokasi utama berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
“Setiap keluarga asnaf menerima sumbangan barangan makanan keperluan harian yang mana kos pembelian barangan tersebut adalah hasil sumbangan daripada kelab-kelab motosikal yang terlibat.
“Seramai 25 orang ‘rider’ mengambil bahagian dalam program ini.

“Selepas kira-kira satu jam majlis berlangsung, para ‘rider’ turut mengadakan sesi ramah mesra bersama keluarga asnaf dalam suasana penuh keharmonian dan kasih sayang, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta dan komuniti setempat,” katanya.
Selesai program di Masjid Jamik Kamunting, kesemua peserta meneruskan perjalanan ke Pondok Pengajian dan Tarbiah Ukhrawi Kampung Pondok Quin, Batu Kurau, Perak.
Pondok pengajian tersebut yang beroperasi sejak tahun 2010 kini mempunyai enam orang tenaga pengajar dan 18 orang murid lelaki yang mengikuti pengajian sepenuh masa.
Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi RIKA 1 Malaysia, Dol, telah menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Pondok Pengajian dan Tarbiah Ukhrawi Kampung Pondok Quin, Ustaz Zulkepely Othman sebagai sokongan terhadap usaha pendidikan dan tarbiah yang dijalankan.

Pihak pengurusan pondok memaklumkan bahawa mereka kini sedang giat mengumpul dana bagi menyiapkan pembinaan sebuah dewan terbuka dengan anggaran kos RM90,000, yang disasarkan untuk disiapkan menjelang bulan Ramadan ini.
Selain itu, Mohd. Nordin turut mengucapkan terima kasih kepada semua ketua kampung yang terlibat atas kerjasama dan bantuan dalam mengenal pasti keluarga asnaf serta memastikan kelancaran program sepanjang ia berlangsung.
“Pihak penganjur juga berharap agar masyarakat yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu melengkapkan dana pembinaan dewan terbuka untuk pondok di Batu Kurau, Perak itu,” katanya.













