fbpx
MARIANTI telah diceraikan oleh suaminya kerana tidak dapat bercuti bersama keluarga mentua untuk menyambut tahun baharu disebabkan tuntutan kerja. – Ilustrasi Hasan Shah

Diceraikan sebab tak dapat cuti tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCERAIAN boleh berlaku dalam apa jua cara dan asbab, sekalipun kadang-kadang alasan perpisahan itu langsung tidak masuk akal.

Bagi Mariati (bukan nama sebenar), 40, dia pernah melalui zaman ‘gelap’ beberapa tahun lalu gara-gara tidak dapat mengikut bekas suami serta keluarga mentuanya menyambut tahun baharu.

Bagi anak jati Marang, Terengganu itu, meskipun diceraikan oleh suaminya tanpa alasan kukuh, namun dia menerima takdir tersebut dengan hati terbuka.

“Saya tidak pernah kongsi kisah perceraian saya kepada siapa-siapa, waima pada rakan terdekat.

“Bagi saya, ia sudah pun berlalu meskipun kadangkala kenangan itu datang,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Menurut jururawat masyarakat itu, dia mula mengenali bekas suaminya yang merupakan seorang eksekutif bank ketika sama-sama menuntut di salah sebuah universiti di ibu kota.

Ujarnya, perkenalan singkat mereka berakhir dengan pernikahan secara sederhana yang mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

“Kami kenal tak sampai dua tahun, sebelum mengambil keputusan untuk bernikah. Ibu dan bapa kami pun menerima keperibadian masing-masing,” katanya.

Namun seperti yang diperkatakan ramai, seseorang itu akan mengenali ‘true colour’ pasangan masing-masing selepas mereka tinggal dan duduk bersama (bernikah).

Jelas Mariati, pada setiap tahun, keluarga mentuanya akan bercuti sempena tahun baharu, sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Pada tahun pertama bernikah dengan suami, saya sudah diajak dan ‘diwajibkan’ mengambil cuti selama seminggu untuk bercuti bersama keluarga mentua.

“Pun begitu, bertugas sebagai jururawat memang sukar untuk bercuti panjang kerana kami bekerja mengikut syif.

“Jadi apabila tidak dapat cuti, awal-awal lagi ibu mentua memerli saya. Dia kata, lebih baik saya bernikah dengan kerja dan bukan bersama anak lelakinya,” tuturnya.

Begitu juga pada tahun-tahun berikutnya, Mariati tetap tidak dapat bercuti, meskipun telah memohon cuti lebih awal kepada ketuanya.

“Mungkin ketika itu saya masih staf junior, jadi sukar untuk dapat cuti terutamanya ketika hujung tahun hingga memasuki ambang tahun baharu.

“Saya sudah cuba buat yang terbaik. Meskipun saya sedikit ‘introvert’ dan kurang gemar sambut tahun baharu, namun saya tetap mencuba demi suami serta keluarga.

“Seperti biasa, pada tahun kedua dan ketiga, saya tetap dimarahi oleh ibu mentua, namun kali ini kata-katanya lebih memedihkan.

“Paling buat saya sedih apabila suami sama-sama ‘naik minyak’. Dia seolah-olah tidak memahami tugas saya. Dia cakap saya sengaja tidak mahu bercampur dengan keluarganya,” katanya.

Berkongsi lanjut, selepas beberapa tahun tidak dapat bercuti bersama, layanan suami Mariati kepadanya juga semakin hambar.

Ada ketikanya, Mariati berasa seperti orang asing, biarpun tinggal bersama keluarga mentuanya.

Menurut Mariati, suaminya ada beberapa kali meminta dia berhenti kerja untuk memberi fokus menjaga ibu dan bapanya serta dua orang anak mereka.

Bagaimanapun, Mariati enggan berbuat demikian kerana dia masih ingin bekerja dan ‘memegang’ duit sendiri.

“Setelah semuanya seperti tidak kena dan nampak buruk di mata keluarga mentua serta suami, akhirnya saya diceraikan hanya sekali lafaz setelah tahun keempat tidak dapat bercuti.

“Mungkin sampai di situ sahaja jodoh saya dengan suami. Anak-anak kini dijaga oleh saya sepenuhnya. Kadangkala, suami dan isteri baharunya ada juga datang menjenguk saya dan anak-anak,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN