fbpx
AIRELL dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh bukan saja mahir bermain gendang, malah dia boleh menghasilkan alat muzik tradisional tersebut selain turut menceburi seni-seni tradisional lain.

Airell anak muda mahir buat, main pelbagai alat muzik tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan hobi menghasilkan gendang kecil, akhirnya anak muda ini ‘sohor’ sebagai pembuat pelbagai jenis gendang dan alat muzik tradisional di Kelantan.

Minat yang mendalam terhadap seni warisan sejak di bangku sekolah rendah menjadi pemangkin kejayaannya dalam dunia muzik tradisional dan persembahan kebudayaan.

Muhammad Airell Amsyar Anuar, 19, atau lebih dikenali sebagai Airell Serunai Perindu turut mahir meniup serunai serta bermain pelbagai alat muzik tradisional termasuk gendang, geduk dan gedombak.

Anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh itu membesar dalam suasana desa yang sarat dengan aktiviti budaya, sekali gus menjadikan jiwanya dekat dengan seni warisan sejak kecil.

“Saya mula minat seni tradisional pada usia 13 tahun. Ketika itu saya belajar silat pulut di Kampung Banggol Stol.

“Dalam latihan itu saya belajar meniup serunai ‘naga ulit’. Dari situlah orang mula kenal saya,” katanya.

Tanpa pendidikan formal dalam dunia muzik, Airell mempelajari seni meniup serunai melalui pemerhatian dan latihan berterusan.

Malah, dia berguru dengan beberapa peniup serunai terkenal di Kelantan bagi menajamkan kemahirannya.

Menariknya, Airell bukan sahaja mahir mengendalikan alat muzik, malah mampu menghasilkan gendang dan canang.

“Setiap gendang yang saya hasilkan, saya akan uji sendiri. Hobi begini memberi pendapatan sampingan apabila hasil pembuatan alat muzik berjaya dijual.

“Harganya bergantung kepada kayu dan kualiti bunyi, biasanya antara RM500 hingga RM700 setiap gendang.

“Saya tidak malu mendapatkan belulang lembu dan kerbau sama ada membeli atau diberi percuma oleh tukang sembelih.

“Mereka sudah tahu minat dan hobi saya untuk menghasilkan alat muzik tradisional,” jelasnya yang telah menjual lebih 50 gendang setakat ini.

Selain itu, Airell turut menawarkan khidmat membaiki gendang dan sering menerima tempahan daripada kumpulan silat serta pemuzik tradisional di seluruh Kelantan untuk memukul gendang ibu atau meniup serunai.

Kehebatan meniup serunai juga telah membawa Airell menjelajah lebih 500 pentas bangsal perlimau silat di seluruh negara. Walaupun hanya menerima sagu hati antara RM100 hingga RM500 untuk setiap persembahan, namun baginya, usaha menghidupkan seni warisan yang semakin dilupakan generasi muda adalah satu kepuasan.

Pada masa sama, dia aktif bersama kumpulan Tiga Serangkai Kok Lanas yang menghimpunkan aktiviti dikir barat, wayang kulit dan seni silat pulut.

Antara kejayaan yang diraihnya sepanjang tahun lalu adalah Naib Johan Pertandingan Serunai anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, serta pertandingan serunai anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Negeri dan Kompleks Sukan Negeri Kelantan.

Tidak sekadar meniup serunai, Airell turut menceburi bidang pembuatan patung wayang kulit dan kini muncul sebagai tok dalang muda.

“Pada tahun 2023, saya sertai bengkel pembuatan patung dan persembahan wayang kulit anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Bermula dari situ, saya belajar cara menghasilkan patung dan menggerakkan persembahan sendiri,” katanya.

Selain itu, Airell berpeluang menyertai Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang tersenarai dalam Malaysia Book of Records, sekali gus menjadi pengalaman berharga dalam perjalanan seninya.

Bagi Airell, darah seni sudah mengalir dalam keluarganya.

Datuk dan neneknya dahulu merupakan penggiat seni kampung dan dia percaya semangat itu diwarisi secara semula jadi.

“Saya mahu jadi pengembang budaya dan pewaris seni warisan negara. Harapan saya agar lebih ramai anak muda turut jatuh cinta dengan seni tradisional kita,” ujarnya penuh semangat.

Kini, setiap tiupan serunai dan paluan gendang oleh Airell bukan sekadar hiburan tetapi simbol perjuangan seorang anak muda dalam mengekalkan denyut nadi budaya Melayu di pentas dunia moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN