JAKARTA – Seorang pelajar sekolah dibaham seekor buaya di hadapan rakan-rakannya di sebatang sungai di Konawe Selatan, wilayah Sulawesi Selatan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Muhammad Rafli Hamzah, 14, sedang membasuh pakaian di sungai tersebut apabila reptilia itu menyerang dari air yang keruh.
Rakan-rakan mangsa dan adiknya menyaksikan sendiri ketika remaja itu bergelut untuk melepaskan diri.
Menurut mereka, dia diseret dari tebing sungai dan hilang dalam air.
Satu operasi mencari dan menyelamat dilancarkan kelmarin, dengan ahli keluarga serta sukarelawan penyelamat menyusuri sungai tersebut.
Mereka mencari selama beberapa jam sebelum terlihat mayat mangsa terapung dalam air.
Ketua Polis Kolono, Inspektor Alimudin Latif berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi serangan.
“Terdapat banyak kesan gigitan. Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan gabungan Pasukan Mencari dan Menyelamat serta Jabatan Bomba,” katanya. – AGENSI














