fbpx
Pelbagai aplikasi AI kini mudah digunakan pelajar untuk menyiapkan tugasan. – Gambar hiasan

AI boleh jadi jalan pintas yang merosak nilai kejujuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM era digital hari ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar khayalan masa depan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian pelajar universiti.

Bayangkan, dengan hanya beberapa arahan ringkas, AI generatif seperti ChatGPT, Gemini, atau Copilot mampu menyiapkan esei, laporan, malah menjawab soalan akademik dalam beberapa saat sahaja.

Bagi sesetengah pelajar, teknologi ini ibarat penyelamat masa yang membantu mereka menghadapi tugasan bertimbun, terutamanya ketika tarikh akhir menghampiri.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ariyanti Mustapha, kehadiran AI turut menimbulkan persoalan besar tentang teknologi ini sebenarnya mempercepatkan pembelajaran, atau sebaliknya melemahkan kefahaman dan integriti pelajar?

“AI generatif direka untuk menjana kandungan seakan-akan hasil pemikiran manusia. Dalam pembelajaran, ia boleh membantu pelajar memahami topik kompleks, menyusun idea atau memperbaiki gaya penulisan supaya lebih mudah dibaca.

“Dengan AI, tugasan yang biasanya mengambil berjam-jam atau berhari-hari boleh disiapkan dengan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

Dr. Ariyanti

Tambahnya, masalah mula timbul apabila pelajar terlalu bergantung kepada AI. Ada yang menyerahkan tugasan yang dijana sepenuhnya oleh AI sebagai hasil kerja sendiri.

Malah, ada pelajar yang menekan butang ‘jana jawapan’ pada saat akhir, tanpa memahami apa yang tertulis dalam tugasan tersebut.

Tindakan ini dikategorikan sebagai bentuk penipuan akademik atau plagiat versi baharu. Secara mudahnya, AI boleh menjadi jalan pintas yang merosakkan nilai kejujuran dan usaha pelajar.

Kongsinya lagi, data menyokong kebimbangan ini iaitu Laporan Student Generative AI Survey 2025 oleh Higher Education Policy Institute (HEPI) di United Kingdom menunjukkan 92 peratus pelajar universiti menggunakan AI generatif dalam tugasan, meningkat daripada 66 peratus pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan pelajar menggunakan AI untuk menulis esei dan menjawab soalan penilaian, bukan sekadar alat sokongan pembelajaran.

“Di Malaysia, situasinya serupa. Laporan Turnitin mendedahkan peratusan tugasan pelajar yang mengandungi kandungan AI adalah tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pensyarah bahawa kualiti tugasan tidak semestinya mencerminkan kemampuan sebenar pelajar.

“Bagaimanapun, penyelesaian bukanlah mengharamkan AI sepenuhnya. Badan kawal selia pendidikan tinggi seperti Tertiary Education Quality and Standards Agency (TEQSA) menekankan perlunya penggunaan AI diurus dengan garis panduan jelas dan beretika,” ujarnya.

Katanya lagi, di Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi menggalakkan pelajar menyatakan penggunaan AI dalam tugasan dan memastikan hasil kerja tetap mencerminkan kefahaman sendiri. Dengan pendekatan ini, AI bukan lagi jalan pintas, tetapi alat bantu yang memperkasa proses pembelajaran.

Dari perspektif etika Islam, penggunaan AI perlu seimbang antara manfaat (maslahah) dan kemudaratan (mafsadah).

“AI membawa kebaikan apabila digunakan untuk meningkatkan pemahaman dan kualiti pembelajaran, tetapi menjadi mudarat apabila dijadikan shortcut yang menafikan usaha sendiri.

“Islam menekankan amanah dan kejujuran dalam menuntut ilmu, kerana ilmu bukan hanya tentang hasil akhir, tetapi perjalanan memahami dan berfikir kritis,” jelasnya.

Ujarnya lagi, AI generatif adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam dunia pendidikan moden.

Cabaran sebenar bukan pada teknologi itu sendiri, tetapi bagaimana ia digunakan. Jika disalahgunakan, AI boleh melemahkan daya fikir dan nilai moral pelajar.

Namun, jika dibimbing dengan etika dan garis panduan jelas, AI mampu menjadi alat yang memperkaya pembelajaran, melahirkan graduan berintegriti, berdaya fikir kritis dan bertanggungjawab hadapi cabaran masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN