fbpx
Salah sebuah kenderaan milik rakyat Malaysia yang terlibat kemalangan di Patthalung, Thailand kelmarin.

Rakyat Malaysia kedekut beli insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Percutian impian yang diharapkan ketika melancong ke Thailand boleh bertukar menjadi mimpi ngeri kepada rakyat negara ini terutama apabila mereka terlibat kemala­ngan tanpa perlindungan insu­rans perjalanan yang mencukupi.

Data semasa menunjukkan kurang 50 peratus daripada rak­yat Malaysia yang bercuti di pelbagai destinasi menarik di negara jiran itu terutama Danok, Hatyai dan Bangkok mengambil travel insurance (TI) atau insurans perjalanan sebagai perlindungan kewangan sepanjang berada di negara Gajah Putih itu.

Angka itu menunjukkan situasi membimbangkan memandang­kan kos rawatan perubatan di negara itu boleh mencecah puluhan ribu ringgit, khususnya jika melibatkan kemasukan ke hospital swasta.

Kes terbaharu melibatkan se­orang rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang kini dilaporkan koma di Hospital Krabi, Thailand selepas motosikal yang dia tunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di negara jiran itu pada Rabu lalu.

Pemuda terbabit, Muhammad Hazim Rafiq Hussain mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, paru-paru bocor dan retak pada tulang bahagian pinggang dan keluarganya dimaklumkan kos rawatan yang perlu dibayar mencecah RM21,000.

Berkongsi maklumat, seorang pengusaha insurans Thailand, TravelThai.my, Ammar Wafiy Johari berkata, kurangnya kepekaan oleh pelancong Malaysia untuk mengambil insurans perjalanan lengkap menyebabkan ada yang berdepan isu kewa­ngan apabila terlibat kemalangan, khususnya dalam menanggung kos rawatan di hospital.

“Sekarang ini, kesedaran mengambil TI tidak melebihi 50 peratus di mana kebanyakannya hanya mengambil compulsory insurance (CI) atau insurans wajib dan voluntary insurance (VI) atau insurans sukarela sahaja.

“Ramai yang belum menyedari kepentingan TI, terutama jika berlaku kemalangan atau kejadian luar jangka di sana,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, ramai juga yang mengambil CI sahaja, sekali gus mendedahkan mereka kepada kos perubatan tinggi sekiranya terlibat kemalangan di Thailand.

“Jika ambil CI sahaja, perlin­dungan perubatan bagi kemala­ngan yang tidak melibatkan orang lain adalah sekitar RM4,000 sahaja, dan jika melibatkan orang lain sekitar RM10,000.

“Jika ambil TI, boleh mendapat pelbagai perlindungan termasuk kos perubatan di hospital, penerbangan pulang dan lain-lain bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000,” katanya.

Ammar Wafiy berkata, pakej TI yang ditawarkan syarikat adalah berbaloi, iaitu antara RM40 hingga RM90, manakala tambahan bagi rider untuk kategori aktiviti lasak antara RM20 hingga RM120 mengikut tempoh masa tertentu.

“Namun begitu, masih ramai yang tidak mengambil dengan alasan hanya mahu masuk Thailand sekejap sahaja, hanya untuk makan di Danok dan Hatyai, tidak jauh mana pun.

“Ada yang kurang faham, dan kami terangkan semua kepen­tingan insurans yang ada, namun mereka tetap membeli CI dan VI sahaja,” jelasnya.

Beliau menyarankan semua pelancong yang mahu ke Thailand agar mengambil semua insurans iaitu CI, VI, TI dan juga extension 101 (E101) atau sambungan insurans E101 bagi perlindungan lebih menyeluruh.

Sementara itu, katanya, jumlah rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand sudah meningkat sejak cuti sekolah ini selepas Hatyai mengalami banjir besar pada November tahun lalu.

“Ramai yang sudah masuk Hatyai terutama pada sambutan Tahun Baharu di mana hotel-hotel di sana sudah kembali ber­operasi,” katanya.

Data pada Jun tahun lalu menunjukkan, Malaysia mengatasi China dalam menjadi sumber utama kemasukan pelancong asing ke Thailand berdasarkan laporan laman berita Thaiger.

Berdasarlan laporan itu, lebih dua juta pelawat Malaysia mengunjungi Thailand dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2025.

Terdahulu, Kosmo! kelmarin melaporkan Muhammad Ha­zim terlibat kemalangan ketika berkonvoi bersama rakannya ke Thailand pada Selasa lalu.

Abang mangsa, Harith Rafie, 24, berkata, keluarganya kini buntu apabila kos rawatan adik­nya di hospital tersebut semakin meningkat dari hari ke hari.

“Sehingga semalam (kelmarin), saya dimaklumkan kos rawatan yang perlu dibayar adalah RM21,000. Kami amat bimbangkan keadaannya dan buntu memikirkan bagaimana mahu cari wang sebanyak itu.

“Kos akan terus meningkat dan RM21,000 itu belum lagi termasuk kos pembedahan dan lain-lain memandangkan kece­deraan dialami adik sangat se­rius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN