PETALING JAYA – Sebagai tanda kasih dan penghargaan, pelakon Erra Fazira menghadiahkan suami tercinta, Ezwan Zain pakej umrah.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, berkata, sepatutnya itu merupakan kejutan namun terpaksa berterus-terang kepada teman hidupnya itu untuk menguruskan permohonan visa.
“Ini hadiah saya untuk suami. Kami pergi berdua.
“Sebenarnya hadiah ini kejutan buat suami, tapi saya terpaksa beritahu destinasinya kerana perlu dapatkan pasport untuk mohon visa.
“Pada awalnya saya hanya minta dia ‘block’ tarikh sahaja dan beritahu nak bawa ke sebuah tempat. Sebab tiada pilihan, saya terpaksa beritahunya,” katanya dalam hantaran video di Instagram sebuat stesen radio, semalam.
Sementara itu, dalam perkongsian di InstaStory miliknya, Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu memohon doa ramai agar perjalanan mereka ke Tanah Suci dipermudahkan.
“Doakan kami. Moga semuanya berjalan lancar dan diberkati. Mohon maaf andai ada salah dan silap daripada kami berdua,” tulisnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat berharap pasangan yang sah bergelar suami isteri pada 12 Disember lalu itu mendapat umrah yang mabrur.
“Alhamdulillah, moga Mrs. E dan Mr. E dilancarkan segala urusan serta diberikan kesihatan yang baik,'” ujarnya.
Difahamkan, mereka bakal berada di Mekah serta Madinah sekitar 10 hari. – KOSMO! ONLINE














