PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pengurusan bazar Ramadan, khususnya di Petaling Jaya, dilaksanakan secara lebih telus melalui pendaftaran dalam talian bagi mengelakkan penglibatan orang tengah dan ejen yang mengambil komisen.
Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan peluang berniaga benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, untuk menambah sumber pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
“Ini masalah kita, masalah bantuan. Ini sepatutnya menjadi kesempatan kepada rakyat di peringkat bawah untuk menjalankan perniagaan dan mencari nafkah tambahan. Jadi, ahli-ahli bandaraya sepatutnya memberi kerjasama supaya proses lebih teratur dan mengelakkan amalan angkat komisen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini, hari ini.
Anwar berkata, berdasarkan kertas cadangan dan pengalaman pelaksanaan di Petaling Jaya, pendaftaran secara dalam talian perlu dibuka seluas mungkin bagi memberi peluang adil kepada peniaga kecil.
Katanya, aspek kebersihan dan kemudahan asas di bazar Ramadan turut perlu diberi perhatian serius, termasuk bekalan air dan pengurusan sisa pepejal.
“Kalau pihak bandaraya dan kerajaan negeri bekerjasama, saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membantu menambah baik kemudahan bazar Ramadan, khususnya dari segi kebersihan dan kawalan persekitaran,” katanya.
Ujarnya, tindakan pembuangan sampah secara tidak teratur tidak akan dikompromi dan tindakan termasuk nasihat serta denda akan dikenakan terhadap pihak yang ingkar. – KOSMO! ONLINE














