PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berlarutan sehingga pukul 6 petang ini di beberapa negeri.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melibatkan hampir keseluruhan negeri Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) bagi tempoh tersebut.
Selain itu, cuaca buruk petang ini juga tertumpu sekitar Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.
“Di Pahang daerah terlibat termasuk Tanah Tinggi Cameron manakala Negeri Sembilan melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau.
Sementara itu, amaran ribut petir itu juga turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak melibatkan Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit) dan Limbang,” katanya.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat dan ribut petir turut dijangka berlaku di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu). – KOSMO! ONLINE














