DI saat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diumumkan baru-baru ini, Nur Syahirah Syazwani Zailani berdebar sambil berdiri di dewan sekolah dengan hanya memandang skrin telefonnya.
Perasaan cemas dan harapan bercampur dalam hati pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan itu.
Dalam suasana riuh dengan suara pelajar dan ibu bapa yang saling berbual serta berkongsi kegembiraan, remaja autistik itu tidak banyak berkata dan menyerahkan detik tersebut kepada kakaknya untuk melihat keputusan yang diperiksa secara dalam talian terlebih dahulu.
Saat keputusan 10A 1B itu terungkap, suasana yang tadinya penuh debar bertukar menjadi detik yang sarat dengan kegembiraan dan kelegaan.
Sambutan penuh makna diterima oleh anak bongsu daripada tiga beradik itu daripada ibu, bapa, abang dan kakaknya, yang selama ini menjadi tulang belakang dalam perjalanan akademiknya.
Kejayaan Nur Syahirah, 18, bukan sekadar cemerlang, malah membawa makna yang lebih besar. Ia membuktikan bahawa seorang pelajar autisme yang bersekolah bersama rakan sebaya tanpa keperluan khas juga mampu mengatasi cabaran uniknya dan mencapai pencapaian luar biasa.
Sebagai seorang autistik, Nur Syahirah mengalami kesukaran bergaul dan sering mengasing diri serta sukar mengekalkan fokus.
Dalam keputusan SPM tersebut, dia memperoleh A+ bagi Matematik; A bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah; A- bagi Kimia, Fizik dan Biologi; manakala B bagi Matematik Tambahan.
Menurut Nur Syahirah, keputusan SPM 2025 yang diperolehnya melebihi sasaran asal iaitu 8A. Lebih membanggakan, dua subjek yang sebelum ini hanya memperoleh C (kredit) iaitu Fizik dan Biologi, turut menunjukkan peningkatan yang ketara sehingga mencapai tahap cemerlang.
“Saya sangat terkejut apabila melihat keputusan 10A dan 1B kerana tidak menyangka mampu turut cemerlang dalam Fizik dan Biologi.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa saya mampu berdiri sebaris dengan rakan-rakan lain walaupun memiliki cabaran tersendiri sebagai pelajar yang didiagnosis dengan autisme,” katanya kepada K-Remaja.
Secara zahir, Nur Syahirah kelihatan seperti remaja biasa yang melalui rutin persekolahan seperti pelajar lain.
Namun di sebalik itu, perjalanan akademiknya dipenuhi dengan cabaran tersendiri yang tidak semua orang dapat lihat atau fahami.
Nur Syahirah didiagnosis dengan autisme tahap ringan oleh pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada usia 16 tahun selepas menunjukkan simptom tekanan emosi dan kesukaran bergaul.
Sepanjang proses pembelajaran, Nur Syahirah mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam jangka masa yang panjang.
Dia memerlukan rehat setiap 30 minit bagi memastikan fokusnya dapat dikekalkan.
Hal ini berlaku kerana autisme mempengaruhi cara otaknya memproses maklumat. Keadaan tersebut menyebabkan dia memerlukan masa untuk memulihkan tenaga mental akibat keletihan kognitif, sensitiviti deria serta cabaran dalam fungsi eksekutif yang mempengaruhi tumpuan dan pengurusan tugasan.
Kerana kesukaran bergaul juga, Nur Syahirah bersekolah di SMKA Naim Lilbanat dengan tidak tinggal di asrama.

Lebih mencabar, Nur Syahirah yang merupakan angkatan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ialah kohort pertama yang tidak pernah menduduki peperiksaan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Keadaan ini menjadikan SPM sebagai peperiksaan utama pertama dan terakhir mereka sepanjang 11 tahun persekolahan, sekali gus meningkatkan tekanan yang perlu dihadapi oleh setiap pelajar.
Nur Syahirah juga pernah melalui fasa sukar sehingga kurang berminat untuk hadir ke sekolah.
Malah, dia pernah melanjutkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, namun mengambil keputusan untuk berhenti selepas empat bulan kerana kurang selesa dengan kehidupan berasrama.
Bagaimanapun, dorongan berterusan daripada keluarga menjadi faktor utama yang membantunya bangkit dan terus berusaha mencapai kejayaan.
Sokongan ini memberikan kekuatan emosi serta keyakinan untuk terus melangkah walaupun berdepan
pelbagai cabaran.
Di sekolah, rakan-rakan dan guru-gurunya sentiasa menunjukkan keprihatinan. Mereka memastikan dia dapat mengikuti pelajaran dengan baik serta tidak ketinggalan dalam setiap pembelajaran yang dijalankan.
“Saya sangat berterima kasih kepada lapan rakan sekolah yang banyak memberi sokongan dan memastikan saya tidak ketinggalan sepanjang tempoh persediaan SPM.
“Biarpun mereka mengetahui saya mempunyai cabaran tersendiri dan tidak mampu bergaul seperti orang lain, mereka tetap tidak meninggalkan saya bersendirian.
“Cikgu-cikgu juga sentiasa memeriksa keadaan saya, terutama setelah mereka memahami keperluan emosi saya yang berbeza daripada rakan-rakan lain,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik cabaran yang dihadapi, autisme turut membawa sisi positif kepadanya.
Antaranya ialah kemampuan untuk berfikir secara logik dan teratur, sekali gus memudahkan pemahaman serta ingatan terhadap topik-topik tertentu.
Keadaan ini menjadikannya lebih mudah memahami setiap pembelajaran tanpa memerlukan penerangan yang panjang.
Remaja yang meminati subjek Matematik itu juga akui jarang membuat nota tambahan kerana hanya perlu membaca, memahami dan mengingati isi pelajaran.
Oleh itu, dia tidak mempunyai jadual belajar yang khusus selain mengikuti pembelajaran di kelas, kelas tambahan di sekolah serta tuisyen dalam talian pada waktu malam.
Kadangkala, dia melakukan ulang kaji tambahan yang diselang-seli dengan permainan berbentuk soalan berasaskan pengetahuan am dalam aplikasi telefon.
Katanya, pendekatan ini menjadikan proses ulang kaji lebih santai dan tidak terlalu membebankan.
“Kemampuan saya untuk berfikir secara logik memudahkan saya memahami subjek dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya tidak menggunakan teknik hafalan tertentu kerana apabila saya faham, mudah untuk saya menerangkan semula dalam kertas peperiksaan,” katanya.
Mengulas mengenai idolanya, Nur Syahirah memilih Marie Curie, wanita pertama yang memenangi Hadiah Nobel sebanyak dua kali.
Tokoh tersebut menjadi sumber inspirasi kerana kejayaannya memecahkan benteng gender dalam bidang sains.
Hal ini memberikan harapan kepada Nur Syahirah untuk melakukan perkara yang sama sebagai individu autistik, iaitu membuktikan bahawa kekangan yang ada bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan.
Perkara itu terbukti apabila dia merupakan satu-satunya pelajar autistik dalam kalangan rakan-rakan yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2025 di sekolahnya.
Selain itu, Nur Syahirah juga mengikuti karya Teme Abdullah, seorang penulis terkenal Malaysia, yang dalam beberapa karyanya menampilkan watak dengan disleksia.
Kisah tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk melihat bahawa cabaran pembelajaran boleh diatasi dengan usaha dan kreativiti.
Mengulas tentang masa depan, Nur Syahirah berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dengan menyasarkan kemasukan ke program asasi sebagai langkah awal sebelum ke peringkat pengajian lebih tinggi.
Harapannya, kejayaannya mampu membuktikan bahawa autisme bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
“Saya berharap kisah saya menjadi inspirasi kepada pelajar lain, individu berkeperluan khas serta ibu bapa agar lebih terbuka dan yakin terhadap potensi anak-anak mereka.
“Saya masih perlu mengatasi cabaran tersendiri seperti tinggal di asrama sekiranya saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi nanti.
“Namun, saya yakin dengan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak, saya mampu menyesuaikan diri,” katanya.














