JOHOR BAHRU – Tujuh wanita China yang menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram untuk mengiklankan perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM230 hingga RM400 ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan terhadap beberapa unit kediaman apartment di sekitar Tanjung Puteri, di sini bermula pukul 9 malam.
Katanya, Op Gegar yang dijalankan secara serentak itu mendapati kesemua suspek telah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.
“Modus operandi digunakan adalah menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi media sosial.
“Bayaran dikenakan kepada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan perkhidmatan tidak bermoral itu adalah antara RM230 hingga RM400. Kesemua bayaran dibuat secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah Mohd. Rusdi, ketujuh-tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 25 hingga 41 tahun dan ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pada masa sama, enam borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan. Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini bagi siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya sambil memberitahu pihaknya komited membanteras kehadiran PATI di negeri ini. – KOSMO! ONLINE














