SEREMBAN – Hasrat seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun untuk menyambut tahun baharu di Nilai malam tadi terbantut selepas ditahan dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) dan Op Bersepadu yang dijalankan di negeri ini.
Pelajar itu merupakan antara enam lelaki berusia 14 hingga 21 tahun yang ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad, tangkapan di kawasan Nilai dan Port Dickson itu dilakukan kerana mereka mempamerkan aksi bukan sahaja membahayakan diri sendiri, bahkan pengguna jalan raya lain.
“Pelajar ini memberi alasan dia keluar untuk meraikan tahun baharu dan mahu berseronok dengan rakan-rakan. Namun, tindakan mereka menunggang motosikal secara melulu menyalahi undang-undang dan boleh mengundang bahaya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Alzafny berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 260 saman atas pelbagai kesalahan dan memeriksa 560 kenderaan sepanjang operasi tersebut yang bermula pukul 9 malam hingga 7 pagi tadi.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, memandu atau menunggang di bawah umur dan mengubah suai ekzos. Polis turut menyita 10 buah kenderaan dan menahan tiga lelaki lingkungan 20-an di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE














