KEBETULAN saya menerima panggilan kerja sementara selama dua minggu di Johor Bahru. Walaupun tugasan kerja agak padat, terdetik juga di hati untuk memanfaatkan waktu hujung minggu dengan memancing.
Dalam fikiran saya, inilah peluang terbaik untuk mencuba pengalaman baharu sambil mengisi masa lapang dengan aktiviti yang mampu melepaskan tekanan kerja. Lantas, saya mula mencari maklumat mengenai lokasi memancing di sekitar Johor Bahru.
Menerusi carian di media sosial, TikTok, saya menemui seorang pemancing haruan tegar yang cukup dikenali di Johor Bahru iaitu Hairi. Perkongsian video serta gambar tangkapan beliau jelas menunjukkan pengalaman memburu ikan haruan.
Tanpa berlengah, saya segera menghubunginya untuk bertanyakan lokasi serta menyatakan hasrat untuk turut serta memancing haruan bersama.
Dalam masa yang sama, Hairi sempat berkongsi beberapa keping gambar beliau bersama rakan-rakan lain yang berjaya menaikkan ikan haruan bersaiz monster. Melihat gambar-gambar tersebut benar-benar menaikkan semangat saya untuk mencuba lokasi ini.
Dalam hati saya terdetik, jika rezeki menyebelahi, mungkin saya juga berpeluang merasai tarikan padu sang haruan Johor.
Lokasi memancing
Hari Ahad saya berpeluang mengikuti Hairi ke satu tasik yang terletak di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Lokasi pancing ini digelar oleh pemancing setempat sebagai ‘Port HSA’.
Tebing tasik ini dikelilingi kawasan berumput dan samai yang menjadi lokasi kegemaran haruan untuk bersembunyi dan memburu mangsanya.

Menurut Hairi, tasik ini mempunyai sejarah yang agak menarik. Di kawasan ini juga, dia pernah merekodkan tangkapan haruan seberat 2.5 kilogram (kg), satu saiz yang boleh dikategorikan sebagai kasar bagi spesies ikan ini.
Rekod tersebut sekali gus membuktikan potensi Port HSA ini sebagai salah satu lokasi pancingan haruan yang wajar dicuba oleh pemancing tempatan mahupun luar.
Keadaan tasik yang tenang, dengan ada aliran air dari terusan yang bersambung dengan laut di sebelahnya, menjadikannya habitat yang ideal untuk haruan membiak dan membesar.
Masa, tempat dan gewang
Hairi turut menjelaskan bahawa waktu terbaik untuk menduga haruan di lokasi ini ialah sekitar pukul 7 hingga 10 pagi. Waktu inilah haruan biasanya aktif keluar mencari makan sebelum matahari mula terik.
Kebiasaannya, haruan akan berkeliaran di kawasan berhampiran tebing, celah-celah rumput, samai dan tempat berstruktur yang menjadi sarang persembunyiannya.
Soft plastic saiz lapan sentimeter (sm) ke atas didapati paling berkesan. Warna gewang memainkan peranan penting dan perlu disesuaikan dengan keadaan air serta cahaya pada waktu tersebut.
Karauan soft plastic juga perlu dipelbagaikan, sama ada secara perlahan, stop and go atau ketuk dasar bagi memujuk haruan yang pasif dan culas.
Misi bermula
Sesampainya saya di lokasi, kelihatan permukaan air tasik berombak. Pada mulanya saya menyangka ia disebabkan oleh tiupan angin, namun setelah diamati dengan lebih teliti, rupa-rupanya sekawan memerang sedang rancak memburu makanan.
“Habislah, nampaknya ada yang lebih awal turun memburu daripada kita hari ini,” seloroh saya kepada Hairi.
Walaupun kehadiran memerang sedikit sebanyak boleh menjejaskan peluang, kami tetap meneruskan misi memancing dengan penuh harapan.

Saya dapat melihat banyak sambaran serta buih-buih ikan haruan di bahagian tepi tebing dan juga di tengah tasik. Jelas menunjukkan tasik ini tidak kosong dan sememangnya berpenghuni. Tanpa berlengah, saya melontar soft plastic bertalu-talu ke arah kawasan buih-buih tersebut.
Namun, selepas beberapa kali lontaran, masih tiada sebarang sambaran yang diterima. Mungkin haruan masih berhati-hati atau sudah kenyang. Hairi kemudian menyarankan agar saya menukar warna soft plastic serta mempraktikkan teknik ketuk dasar secara perlahan-lahan, bagi memujuk ikan yang kurang agresif ketika itu.
Tidak lama kami berdua memancing, tiba-tiba satu sambaran rakus mengena umpan Hairi. Dengan satu sentapan padu, mata kail terus melekat kemas di mulut seekor ikan haruan bersaiz besar.
Aksi pertarungan yang singkat tetapi mendebarkan itu jelas memperlihatkan pengalaman Hairi dalam mengawal ikan agar tidak terlucut.
Penutup
Jam sudah hampir mencecah pukul 10 pagi dan matahari mula terasa terik. Aktiviti haruan juga semakin perlahan, menandakan waktu aktifnya hampir berakhir. Pada hari tersebut, saya terpaksa berpuas hati dengan keputusan ‘kosong’.
Hairi pula berjaya menaikkan beberapa ekor haruan dan ada juga yang terlucut ketika pertarungan. Walaupun tidak berjaya menaikkan hasil, pengalaman memancing di Port HSA ini tetap memberikan kepuasan tersendiri.
Bagi saya, setiap trip memancing bukan sekadar soal hasil, tetapi pengalaman, ilmu dan kenangan yang dikutip sepanjang perjalanan.
Insya Allah, jika berpeluang kembali ke Johor Bahru, Port HSA ini pasti akan menjadi salah satu lokasi yang akan saya kunjungi semula untuk menuntut ‘hutang’ dengan sang haruannya.















