fbpx
Pekerja menyiapkan hiasan Tahun Baharu 2026 di Hanoi, Vietnam semalam. - AFP

Dunia ucap selamat tinggal kepada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SYDNEY – Penduduk dunia meraikan penghujung tahun 2025 semalam dengan mengucapkan selamat tinggal kepada 12 bulan yang dipenuhi krisis tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, gencatan senjata di Gaza, konflik-konflik ketenteraan dan harapan sia-sia untuk keamanan di Ukraine.

Ia merupakan salah satu tahun paling panas dalam rekod, kepanasan yang mencetuskan kebakaran hutan di Eropah, kemarau di benua Afrika dan hujan lebat di seluruh Asia Tenggara.

Negara kepulauan di tengah Lautan Pasifik, Kiribati menjadi negara pertama yang menyambut ketibaan Tahun Baharu 2026, manakala sambutan ambang Tahun Baharu turut meriah dari New York yang penuh gemerlap hingga ke festival Hogmanay di jalan-jalan sejuk di Scotland.

Sepanjang tahun 2025, pelbagai trend dan peristiwa bersejarah telah tercatat.

Anak patung Labubu menjadi kegilaan seluruh dunia, pencuri menjarah muzium Louvre di Paris, Perancis dalam satu rompakan berani, manakala kumpulan K-pop terkenal, BTS kembali setelah lama dinantikan.

Dunia kehilangan ahli zoologi perintis, Jane Goodall, Vatican memilih pope baharu dan pembunuhan aktivis sayap kanan, Charlie Kirk mendedahkan perpecahan politik Amerika yang mendalam.

Trump kembali ke White House pada Januari tahun lalu sebelum melancarkan ‘perang tarif’ yang menyebabkan pasaran global jatuh merudum.

Memasuki Tahun Baharu 2026, ramai yang menjangkakan masa-masa sukar akan berterusan.

“Keadaan ekonomi sangat teruk, saya bimbang akan kehilangan sumber pendapatan,” kata seorang peniaga di Bandar Raya Mexico, Ines Rodriguez.

“Semua rakan sekerja kami berada dalam situasi yang sama. Sangat sedikit pekerjaan dan tidak begitu menguntungkan,” kata pemilik perniagaan di Buenos Aires, Argentina, Fernando Selvaggi.

Selepas dua tahun perang yang menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah, tekanan AS membantu mencapai gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas pada Oktober tahun lalu.

Tempoh 12 bulan akan datang menjanjikan peristiwa yang penuh dengan acara sukan, penerokaan angkasa lepas dan persoalan serius mengenai teknologi kepintaran buatan (AI).

Lebih 50 tahun sejak misi lunar Apollo yang terakhir, 2026 diramal menjadi tahun di mana manusia sekali lagi menumpukan perhatiannya kepada bulan.

Misi Artemis II NASA, yang disokong oleh manusia terkaya dunia, Elon Musk, merancang untuk melancarkan kapal angkasa berkru yang akan mengelilingi bulan semasa penerbangan ujian selama 10 hari.

Selepas bertahun-tahun berkembang tanpa henti, AI mula menghadapi penelitian yang semakin meningkat. Para pelabur mula mempersoalkan sama ada ledakan teknologi itu mungkin akan menjadi sesuatu yang bersifat seperti gelembung pasaran.

Selain itu, para atlet akan berkumpul di Dolomites, Itali untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Bagi tempoh beberapa minggu yang singkat antara Jun hingga Julai, negara-negara akan bersatu untuk menyaksikan acara bola sepak Piala Dunia terbesar dalam sejarah.

Sementara itu, perang di Ukraine yang tercetus susulan pencerobohan berskala penuh Russia pada 2022 semakin menghampiri ulang tahun keempatnya pada Februari ini.

Terdapat harapan bahawa lonjakan diplomasi yang diperbaharui mungkin dapat menghasilkan satu kejayaan pada tahun ini, namun kesukaran kedua-dua pihak untuk saling berkompromi berhubung beberapa syarat, kekal menjadi isu utama. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN