fbpx
Ketika ini ibu bapa sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah. - GAMBAR HIASAN

Jangan anggap persiapan sekolah anak satu beban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Lebih kurang 11 hari lagi, musim persekolahan baru akan bermula. Setiap tahun, tarikh sesi persekolahan baru lebih kurang sama saja waktunya dan sepatutnya tidak lagi mengejutkan mana-mana ibu bapa.

Namun setiap kali musim persekolahan baru tiba, ada saja keluhan tentang kos persiapan sekolah untuk anak-anak kedengaran. Kasut mahal, kos pakaian seragam meningkat atau alat tulis perlu diganti baru dan macam-macam lagi. Semuanya dikatakan membebankan.

Yang menghairankan, keluhan itu sering datang daripada mereka yang sebelum ini tidak terlalu berkira untuk berbelanja lebih untuk perkara-perkara lain yang tidak berapa penting.

Aksesori kereta boleh ditukar, telefon pintar sering bertukar, makan di tempat yang bagus-bagus dengan agak kerap, malah boleh dikatakan semua kehendak semasa mudah saja dipenuhi.

Persoalannya, jika perkara yang tidak mendesak boleh diberi keutamaan, mengapa keperluan sekolah anak pula menjadi beban yang sering menjadi rungutan?

Perlu diingat, perbelanjaan persekolahan anak adalah satu pelaburan jangka panjang yang menjadi tanggungjawab kepada semua ibu bapa. Ia adalah asas kepada usaha untuk menjadikan anak-anak kita sebagai generasi berilmu yang kelak akan menjadi penentu kepada masa depan mereka.

Kerana itu, ia seharusnya menjadi keutamaan kepada kita sebagai ibu bapa untuk membuat persiapan yang sepatutnya supaya anak-anak kita supaya dapat menimba ilmu dalam keadaan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Masalahnya, ada segelintir dalam kalangan ibu bapa, mereka sebenarnya bukanlah daripada golongan tidak mampu, tapi perancangan mereka agak kurang baik kerana keutamaan diletakkan kepada perkara-perkara lain yang kurang penting.

Perbelanjaan didahulukan kepada benda-benda yang kurang perlu, manakala simpanan untuk pendidikan anak-anak pula tidak dirancang dengan baik.

Akibatnya, ada anak yang ke sekolah dengan kelengkapan tidak mencukupi, sedangkan pada masa yang sama ibu bapa mereka sebenarnya masih mampu untuk berbelanja kepada perkara lain yang sebenarnya boleh ditangguhkan.

Dalam pada itu, ada dalam kalangan ibu bapa yang dikategorikan sebagai B40 boleh pula menyediakan segala kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka dengan sempurna. Mengapa? Sebab mereka sudah tahu bila sekolah akan dibuka dan sudah merancang lebih awal untuk menghadapinya.

Hakikatnya, anak-anak tidak meminta yang mahal atau berjenama, kecuali kita sendiri yang mendidik mereka ke arah itu. Mereka sebenarnya hanya perlukan keperluan asas yang cukup untuk belajar dengan selesa.

Jadi sebagai ibu bapa, kita perlu menyemak semula cara berbelanja. Bezakan antara kehendak dan keperluan, antara yang sementara dan masa depan. Ini kerana, kita tidak mahu kelak anak-anak kita akan merasakan pendidikan bukan perkara utama dengan hanya meletakkannya di tempat kedua atau ketiga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN