RIYADH – Pemimpin majlis presiden Yemen hari ini mengisytiharkan darurat dan membatalkan pakatan keselamatan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kumpulan pemisah disokong Abu Dhabi merampas sebahagian besar wilayah.
“Perjanjian pertahanan bersama Emiriyah Arab Bersatu dengan ini dibatalkan,” kata kenyataan itu, manakala dekri berasingan mengumumkan darurat 90 hari termasuk sekatan udara, laut dan darat selama 72 jam.
Pengumuman oleh ketua Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi itu dibuat selepas kumpulan gabungan pimpinan Arab Saudi yang berperang di Yemen berkata, pihaknya telah menyerang penghantaran senjata UAE yang ditujukan untuk kumpulan pemisah.
Kumpulan dikenali sebagai Pasukan Majlis Peralihan Selatan (SCT) yang disokong UAE sebelum ini menyertai pakatan keselamatan bersama majlis kepimpinan tersebut.
Bagaimanapun, SCT bertindak melancarkan serangan di selatan Yemen pada bulan ini, mengambil alih kebanyakan wilayah Hadramawt yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan sebahagian besar rantau berdekatan, Mahrah.
Alimi mengarahkan SCT menyerahkan wilayah itu kepada pasukan yang disokong Arab Saudi, menyifatkan kemaraan kumpulan pemisah itu sebagai ‘pemberontakan yang tidak boleh diterima’ dalam ucapan di televisyen.
Konfrontasi itu berisiko memecahbelahkan kerajaan Yemen yang rapuh dan mempunyai puak-puak berbeza, disokong oleh kuasa Teluk yang kaya dengan minyak termasuk Arab Saudi dan UAE.
Ia juga mengancam rundingan damai yang bergerak perlahan dengan pemberontak Houthi.
Militia Houthi disokong Iran telah menggulingkan kerajaan sedia ada di ibu negara, Sanaa pada 2014 dalam pemberontakan yang mengundang campur tangan tentera oleh gabungan pimpinan Arab Saudi. – AFP














