fbpx
Tangkap layar menunjukkan aliran trafik sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara semalam.

Jalan sesak, jualan tiket bas pun suram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jualan tiket bas ekspres sempena cuti Tahun Baharu Cina tahun ini merosot sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu, berpunca daripada keadaan lalu lintas yang semakin sesak.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia, Datuk Abu Hassan Awang berkata, kemerosotan itu paling ketara melibatkan laluan-laluan utama yang lazim­nya mencatat permintaan tinggi setiap kali musim perayaan.

Menurutnya, sebagai contoh, terdapat bas ekspres bagi perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur pagi semalam, hanya mencatatkan tiga hingga empat penumpang.

“Jualan tiket bas suram, tidak macam tahun-tahun lepas. Tiket untuk cross-border (rentas sempadan) seperti ke Singapura pun suram, tak seperti dahulu.

“Sebelum ini kalau raya Cina, seminggu awal sudah penuh. Selepas seminggu pun masih okey, pasaran pun bagus tetapi sekarang tak boleh pergi jauh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Abu Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian berhubung penurunan jumlah jualan tiket pada musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi mengenal pasti punca sebenar.

Katanya, berdasarkan tinjauan awal, situasi itu dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas yang semakin teruk ketika musim perayaan.

“Keadaan trafik yang sesak sehingga menyebabkan perjalanan mengambil masa terlalu lama, mungkin membuatkan orang ramai memilih alternatif
lain.

“Kalau perjalanan (bas ekspres) ambil masa terlalu lama, orang mungkin fikir dua tiga kali,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jualan tiket sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang turut mengalami kemerosotan sekiranya trend sama berterusan.

Katanya, pengusaha bas berharap keadaan kembali pulih memandangkan musim perayaan merupakan tempoh penting untuk industri berkenaan.

“Pihak industri berharap sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan bas ekspres akan kembali meningkat dalam tempoh terdekat.

“Saya difahamkan ada operator yang telah mula menjual tiket bas untuk Hari Raya Aidilfitri bermula semalam (kelmarin) dan ada yang menawarkan diskaun untuk menarik penumpang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN