fbpx
SUDAH acap kali berlaku apabila masyarakat cenderung untuk menularkan video atau gambar di media sosial sehingga mengundang kritikan. - GAMBAR HIASAN

Ada masalah, cari pihak berkaitan bukan netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini tular sebuah video yang dimuat naik seorang wanita berhubung keadaan anaknya kategori orang kurang upaya (OKU) di sebuah sekolah rendah sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.

Menerusi video itu, wanita tersebut mendakwa anaknya yang mempunyai masalah cerebral palsy dikatakan pergi ke kantin dengan menggunakan lutut, tanpa kerusi roda selain menuduh guru berlaku kejam.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai termasuk ada yang menyalahkan pihak sekolah.

Bagaimanapun, ada juga yang tidak mempercayai video tular itu dengan sewenang-wenangnya, ditambah lagi terdapat wakil ibu bapa yang tampil menjelaskan situasi salah faham tersebut.

Sudah acap kali berlaku masyarakat cenderung untuk menularkan video atau gambar di media sosial, sehingga kadangkala bukan sahaja mengundang kritikan, bahkan fitnah kepada pihak lain.

Pada tahun lalu, berlaku kes di mana seorang ibu memuat naik hantaran kononnya diperlekehkan selain ‘diboo’ oleh guru, hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.

Dalam kes wanita dan anak OKU itu, dia sendiri boleh bertanya secara terus kepada guru memandangkan dia berada di sekolah tersebut tanpa perlu memuat naik di dalam media sosial.

Ini kerana apabila tular sehingga menjadi perdebatan, kesannya sudah tentu kepada anak yang tidak mengetahui kejadian tersebut.

Pihak sekolah juga terpaksa berdepan kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang ‘tidak bijak’ menilai selain guru yang perlu menjawab dengan pihak atasan.

Peguam Nor Zabetha Muhamad Nor juga senada dengan isu sebegini yang mana pihak sekolah termasuk guru-guru terpaksa berdepan pelbagai kecaman dan kritikan orang ramai tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Guru ditularkan, dituduh macam-macam, dikatakan kejam, tidak berperikemanusiaan, tidak bertanggungjawab. Berat tuduhan begini. Tugasnya untuk mengajar.

“Kerenah pelajar berbeza-beza, tetapi mereka menjalankan tugas. Kerenah ibu bapa juga bermacam-macam, manakala tugas guru juga terikat dengan peraturan.

“Bila tular, nak berdepan tuduhan masyarakat, dikecam di media sosial dengan macam-macam tuduhan,” katanya.

Beliau berkata, golongan ibu bapa boleh mengambil iktibar dengan berbincang dan menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan pihak sekolah tanpa perlu berkongsi di media sosial kerana impak tular turut dirasai anak mereka.

“Berbincang dan dapatkan penjelasan terlebih dahulu. Jangan begini (tular), mengajak pengadilan di Court of Public Opinion’ (pendapat orang ramai).

“Bila berlaku, satu sekolah tular. Muka anak pun tular. Berpecah-belah pandangan netizen, ada kecam cikgu, ada kecam si ibu selepas sekolah keluarkan kenyataan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN