fbpx
PEJUANG haiwan terbiar juga seorang bintang ternama, Brigitte Bardot meninggal dunia pada usia 91 tahun semalam.

Bintang legenda, pejuang haiwan terbiar, Brigitte Bardot meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebutir bintang terkenal malah pernah diberi julukan simbol seks yang akhirnya mendedikasikan hidup sebagai pejuang haiwan terbiar, Brigitte Bardot meninggal dunia pada usia 91 tahun dengan tenang semalam.

Pemergian aktres legenda Perancis itu disahkan Yayasan Brigitte Bardot iaitu yayasan miliknya dengan memaklumkan aktres yang juga aktivis hak haiwan tersebut menghembuskan nafas terakhir dengan tenang.

“Yayasan Brigitte Bardot dengan rasa duka cita yang amat dalam mengumumkan pemergian pengasas Brigitte Bardot.

“Bardot ketika hayatnya memilih untuk meninggalkan kerjaya gemilang sebagai seorang pelakon dengan mendedikasikan hidup terhadap kebajikan dan melindungi haiwan,” tulis wakil yayasan dalan satu kenyataan.

Bardot meninggalkan seorang anak lelaki, Nicolas-Jacques Charrier, hasil perkahwinannya dengan aktor, Jacques Charrier.

Sepanjang hayatnya, figura ikonik itu mula dikenali menerusi filem And God Created Woman pada tahun 1956 sebelum membintangi sekitar 50 buah filem sebelum bersara daripada dunia lakonan pada 1973.

Keputusan bersara bagi memberi komitmen menjaga haiwan terbiar selain pernah mengeluarkan kenyataan sudah muak untuk sentiasa kelihatan cantik setiap hari.

Dia juga mengasingkan diri di kediamannya di pusat peranginan Riviera, Saint-Tropez, dengan memberi tumpuan memperjuangkan kebajikan haiwan.

Aktres itu kemudian menubuhkan Yayasan Brigitte Bardot pada tahun 1986, yang kini mempunyai sekitar 70,000 penderma dan kira-kira 300 kakitangan.

Baginya, memperjuangkan nasib haiwan terbiar memberikan kepuasan yang tak pernah dirasai sepanjang bergelar anak seni.

“Saya sangat berbangga dengan bab pertama kehidupan saya.

“Perjuangan menjaga haiwan memberi saya kemasyhuran dan perkara yang memberi makna besar dalam hidup saya,” katanya dalam satu temu bual sebelum ini.

Biarpun kehidupannya pernah dibayangi kontroversi susulan kenyataan peribadi berkaitan isu sosial, politik, sumbangan dan legasi Bardot dalam dunia seni serta perjuangan hak haiwan tetap diakui. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI