PETALING JAYA – Pemuda UMNO Pusat akan menganjurkan Konvensyen Khas Pemuda UMNO bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parti menyuarakan pendirian serta isi hati berkaitan hala tuju UMNO dan Barisan Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, konvensyen itu akan berlangsung pada 3 Januari 2026 (Sabtu) di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Menurut beliau, konvensyen berkenaan penting bagi membolehkan ahli-ahli UMNO menyatakan secara terbuka sama ada parti itu wajar terus kekal bersama kerajaan sedia ada atau mengambil keputusan sebaliknya.
“Saya ingin menjemput semua yang masih sayangkan perjuangan UMNO dan berani menyuarakan isi hati untuk hadir ke Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari 2026 di WTC, Kuala Lumpur.
“Parti ini milik kita semua. Kita bukan sekadar bercakap, tetapi kita buat apa yang kita cakap. Sama ada kekal atau keluar, kita yang menentukannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dr. Muhamad Akmal turut menjemput seluruh kepimpinan UMNO agar hadir bagi mendengar sendiri suara serta kehendak ahli akar umbi yang menjadi nadi kekuatan parti.
Beliau berkata, sebarang keputusan dan resolusi yang dicapai dalam konvensyen tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan Puchong.
Katanya, tindakan itu diambil susulan rasa tidak puas hati ahli UMNO terhadap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang didakwa masih belum memohon maaf atas kenyataannya berkaitan keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkan telah menggores perasaan ahli-ahli UMNO.- KOSMO! ONLINE














