KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri bersedekah, mencari kenalan dan mengeratkan silaturahim dengan cara tersendiri apabila menjamu mereka dengan buah anggur daripada pokok yang ditanam sendiri di rumah mereka di Felda Lok Heng Timur di sini.
Supian Ihsan, 65, berkata, pokok itu ditanam ketika Perintah Kawalan Pergerakan lima tahun lalu selepas isterinya, Siti Aminah Yunos, 64, banyak menghabiskan masa di rumah.
“Pada awalnya kami tanam sekadar suka-suka saja. Masa itu ramai yang cakap anggur susah hidup. Bila pokok dah berjaya hidup ada pula yang tanya boleh berbuah ke tak.
“Selepas ia hidup subur dan berbuah, kami beri secara percuma kepada pengunjung dengan niat bersedekah, mengeratkan silaturahim dan kongsi rezeki untuk buatkan orang gembira,” ketika ditemui di kediamannya di Felda Lok Heng Timur di sini.
Menurut Supian, kini mereka mempunyai 20 pokok anggur yang mengeluarkan hasil dan dinamakan D’laman anggur.
Tambahnya, mereka menggunakan baja kompos yang dibuat sendiri menggunakan kulit telur, gula merah, nasi, daun, air dan disimpan selama tiga bulan.
“Modal sekitar RM6,000 hingga ke RM7,000. Kami bercadang untuk tanam buah markisa pula dan diharap usaha ini dapat membantu menarik kehadiran orang luar ke sini,” katanya.















