BENJAMIN FOO atau lebih dikenali sebagai Ben Foo merupakan salah seorang tokoh yang berpengaruh dan dihormati dalam dunia pancing layang tempatan.
Lahir dan membesar di Petaling Jaya (PJ), Selangor, Ben Foo memulakan hidup sebagai pemancing seperti kebanyakan anak-anak muda lain.
Dari lombong-lombong sekitar PJ, dia memburu haruan menggunakan teknik konvensional, sebelum beralih ke pancingan laut apabila sudah bekerja dan mampu memiliki set pancingan lebih baik.
“Waktu itu, saya memang pancing dasar sahaja,” katanya sambil ketawa mengingati nostalgia penggunaan tali mono dan gewang klasik zaman 80-an.
Segalanya berubah pada awal tahun 2000. Ben Foo mula berkawan dengan beberapa pemancing Jepun yang mahir dalam sukan mengilat gewang.
Daripada mereka Ben Foo mempelajari teknik memanipulasi gewang seperti side cast, skipping, pitching dan lain-lain lagi sebelum video-video rujukan wujud seperti hari ini.
Namun titik perubahan sebenar hadir apabila rakannya, Yamamoto mengajak Ben Foo untuk mencuba pancing layang.
Tanpa pengalaman, Ben Foo membeli set pancing layang pertamanya di sebuah kedai pancing di Subang Jaya iaitu Tacklebox kepunyaan pemain bass kumpulan Headwind, Nick Ooi.
“Bantai saja,” katanya mengenang detik pertama menghayun tali layang di udara tanpa tahu teknik yang betul.
Namun, takdir sudah tertulis untuk Ben Foo apabila seekor ikan aruan tasik menjadi tangkapan pertama yang didaratkan menggunakan pancing layang. Sejak hari itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang.
Minat dalam mengilat ikan segera diganti oleh sesuatu yang jauh lebih berseni, lebih teknikal dan lebih memukau.

Menurut Ben Foo, pancing layang bukan ‘kosong’, ia adalah satu seni yang memerlukan keseimbangan antara teknik, pergerakan dan pemahaman sifat air serta ikan.
Di sinilah aura ‘seni layang’ itu terasa, seolah-olah menyambung warisan ratusan tahun dari peradaban Rom dan Macedonia yang pernah menggunakan bulu burung merah sebagai umpan tiruan.
Namun, perjalanan Ben Foo tidak semudah yang disangka. Pada 10 tahun pertama dalam dunia pancing layang, ia dilaluinya tanpa pembelajaran formal.
Layangan tali berterabur, umpan layang tidak kemas, malah banyak masa terbuang hanya kerana teknik salah.
Kemudian, dia berpeluang mempelajari asas sebenar pancing layang daripada Master Caster Australia yang diiktiraf dunia, Peter Hayes.
Pertemuan itu mengubah segalanya. Ben Foo mempelajari teknik sebenar, prinsip kawalan tali, aplikasi tenaga, sudut hayunan serta kaedah lontaran jarak jauh yang efektif.
Pada tahun 2011, Ben Foo lulus ujian rasmi dan bergelar Certified Fly Casting Instructor.
Sejak itu, beliau mengajar pemancing dari seluruh Malaysia, malah pernah dijemput mengendalikan kelas di China.
“Malaysia patut bangga. Walaupun masih baru berbanding negara Barat, namun kita ada bakat yang mampu berdiri sama tinggi,” katanya.
Bagi Ben Foo, pancing layang tetap menjadi seni menenangkan, daripada pergerakan joran yang seakan melukis lengkungan di udara dan jatuhan umpan layang senyap ke permukaan air.
Pancingan layang mungkin bukan teknik pancing paling popular di Malaysia, namun Ben Foo akan terus memastikan seni pancingan ini tidak hilang ditelan era moden.
Bagi mereka yang sanggup dan mahu belajar, pintu dunia pancing layang sentiasa terbuka luas serta penuh keindahan.















