Minggu lalu, Thailand dan Kemboja memaklumkan kepada Menteri Luar China, Wang Yi tentang kesediaan kedua-dua negara meredakan ketegangan dan melaksanakan gencatan senjata selepas pertempuran yang tercetus semula menjadi sengit susulan konflik di sempadan sejak Julai lalu.
Hasrat Bangkok dan Phnom Penh dinyatakan selepas gencatan senjata yang dimeterai antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet musnah.
Gencatan senjata itu dimeterai di Kuala Lumpur dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selaku pengantara pada 26 Oktober lalu.
Selepas lebih seminggu perjanjian ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN, Thailand bertindak menggantungnya. Bangkok berang kerana dua askarnya cedera akibat memijak periuk api berhampiran sempadan negara tersebut dengan Kemboja.
Sebelum ini, Trump mendabik dada dan berkata, beliau berjaya menamatkan perang lima hari itu antara Thailand dan Kemboja.
Bagaimanapun, usaha Presiden Amerika Syarikat berkenaan untuk membawa perdamaian antara dua negara tersebut susulan pertikaian wilayah berpunca daripada penandaan sempadan era penjajahan sejauh 800 kilometer, kembali buntu.
Susulan perang yang meletus semula, Trump sekali lagi memberitahu awal bulan ini bahawaThailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan semula gencatan senjata tetapi sehingga kini, ia masih lagi gagal untuk dilaksanakan.
Usaha damai oleh pemimpin kuasa ketenteraan terkuat di dunia itu nampaknya dipandang sepi oleh Bangkok dan Phnom Penh.
Situasi seterusnya menyaksikan Menteri Luar China itu cuba memainkan peranan sebagai pendamai.
Wang Yi berkata, sebagai sahabat dan jiran rapat kepada kedua-dua negara, Beijing berasa amat sedih melihat tahap korban orang awam dalam konflik terbaru itu yang intensitinya melebihi pertempuran sebelum ini.
“Peningkatan ketegangan yang berterusan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan menjejaskan perpaduan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Keutamaan segera ialah mengambil tindakan tegas, menghentikan permusuhan secepat mungkin, mencegah kerugian seterusnya dan membina semula kepercayaan bersama,” kata Wang Yi minggu lalu.
Usaha China itu adalah terpuji bagi menamatkan perang tersebut yang telah mengorbankan lebih 31 orang hanya dalam bulan ini, termasuk anggota tentera dan orang awam selain menyebabkan kira-kira 800,000 orang hilang tempat tinggal.
Selain China, ASEAN juga menaruh harapan untuk melihat Thailand dan Kemboja menamatkan pertempuran di sempadan apabila menteri-menteri luarnya bersidang di Kuala Lumpur bermula Isnin ini.
Adalah sesuatu yang janggal berlaku apabila ada negara-negara ASEAN yang bertempur sesama sendiri sedangkan blok tersebut telah lama dikenali sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.














