fbpx
Wakil syarikat ikhlas.com menyerahkan tajaan umrah buat Muhammad Iqbal dan ibunya, Nurul Aqilah (tengah) di Sungai Buloh semalam.

Umrah ditaja, budak sedekah duit jual air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Niat suci seorang kanak-kanak lelaki untuk menjejakkan kaki ke Mekah pada usia muda melalui titik peluh berniaga, kini menjadi kenyataan apabila dia dan ibu tercinta menerima tajaan pakej umrah sepenuhnya daripada sebuah agensi pelancongan.

Muhammad Iqbal Rizqy Amir Aikhwanuddin, 11, berkata, khabar gembira itu diterima menerusi panggilan telefon daripada sebuah agensi pelancongan yang tampil menaja dirinya dan ibu tercinta mengerjakan umrah.

“Rasa macam mimpi. Mula­mula Iqbal ingat mereka telefon sebab Iqbal menang pertan­dingan teka belon. Terkejut sangat bila mereka beritahu nak taja Iqbal dan mami pergi umrah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, dia dan ibunya, Nurul Aqilah Hashim, 38, sebelum ini menghadiri sebuah program pameran pelancongan dan singgah di reruai Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (ikhlas.com) di Plaza Sungei Wang pada 30 November lalu.

“Kami ada sertai permainan teka belon dekat booth (reruai). Ingatkan menang itu saja. Tidak sangka pula usaha Iqbal untuk berniaga kecil-kecilan bagi mencapai impian ke Mekah membuatkan pihak berkenaan (agensi pelancongan) tersentuh,” katanya.

Buat masa ini, hanya Iqbal dan ibunya yang akan menunaikan umrah, namun terdapat ahli keluarga lain yang menyatakan hasrat untuk turut serta bergantung kepada perancangan masing-masing.

“Kalau tiada siapa ikut pun tak apa. Iqbal dan mami sahaja pun sudah cukup,” ujarnya.

Tambahnya, mereka dijangka berangkat pada bulan Syawal dan kini sedang menunggu makluman lanjut berkaitan tarikh serta kumpulan jemaah yang akan disertai.

Dalam pada itu, Muhammad Iqbal menjelaskan, wang hasil perniagaan yang dikumpul sebelum ini tetap akan dimanfaatkan untuk kebaikan orang lain.

“Di sekolah ada program Ge­robok Raya. Iqbal nak derma baju raya baru supaya kawan-kawan yang kurang mampu boleh beraya dengan baju baru. Nak sediakan baju sekolah juga macam niat Iqbal sebelum ini. Insya-Allah nanti Iqbal pun nak sedekah dekat Mekah,” katanya.

Kata Muhammad Iqbal, dia tidak akan berhenti berniaga ke­rana mahu terus berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Berkongsi mengenai persiapan ke Tanah Suci, Muhammad Iqbal dan ibunya sudah mula bersenam serta menjaga pemakanan.

“Iqbal dan mami rancang nak mula semula baca al-Quran dari awal dan khatam di Mekah nanti. Mami juga bagi Iqbal buku tra­velog ‘Diari Umrah Pertamaku’ supaya Iqbal lebih faham perjalanan ibadah umrah,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Iqbal menarik perhatian ramai apabila berjaya mengumpul hampir RM3,000 hasil jualan air vanilla blue, coklat, Thai tea serta kek batik di gerai kecilnya yang kini tular di media sosial.

Ibunya, Nurul Aqilah berkata, minat anak sulungnya itu mula bercambah selepas menghadiri Kem Usahawan Cilik, di mana Muhammad Iqbal dilantik sebagai ketua kumpulan dan memenangi tugasan memperkenalkan produk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN