fbpx
BAZLI ILMAM mengikuti jurusan kejuruteraan perkapalan untuk mengejar cita-citanya bekerja dengan kemahiran tinggi di offshore.

Kejuruteraan perkapalan jadi pilihan Bazli Ilmam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Bazli Ilmam Mohamad Niza, 20, memilih untuk bekerja di sebuah bengkel kereta. Di situlah, dia mula meminati bidang berkaitan kemahiran automotif, enjin atau kenderaan.

Dalam masa yang sama, dia menyedari pendidikan merupakan sesuatu yang penting untuk masa hadapannya.

Bazli Ilmam kemudian mengambil keputusan untuk mendalami bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan mengambil Diploma Kejuruteraan Perkapalan di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak.

Menurutnya, dengan memilih melanjutkan pengajian, dia dapat belajar lebih banyak kemahiran yang berkaitan dalam bidang tersebut.

“Dalam bidang kejuruteraan perkapalan ini saya belajar tentang banyak perkara seperti sistem elektrik, sistem mekanikal dan sistem stim.

“Ketiga-tiga sistem ini digunakan di mana-mana bahagian enjin termasuklah kereta, motosikal dan kapal,” katanya kepada K-Kampus.

Bukan kerana minat semata-mata, salah satu sebab Bazli Ilmam mengambil keputusan untuk mendalami kemahiran kejuruteraan perkapalan adalah kerana dia melihat peluang pekerjaan yang luas dalam bidang tersebut.

Menurutnya, peluang pekerjaan sebagai jurutera perkapalan amat luas, mereka bukan saja boleh bekerja di atas kapal dan pelabuhan, malah boleh juga di offshore.

Bidang ini juga membuka laluan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi yang kini semakin diperlukan dalam industri tenaga, minyak dan gas, logistik dan maritim.

Kini menuntut di peringkat diploma, Bazli Ilmam berkata, menurut perancangannya, setelah tamat latihan industri kelak, dia akan meneruskan pengajian bagi peringkat sarjana muda.

“Saya akan menyambung pengajian bagi sarjana muda dalam bidang yang sama di PUO juga.

“PUO baru sahaja menawarkan sarjana muda kejuruteraan perkapalan pada tahun lalu dan saya ingin belajar di dalam bidang ini di peringkat yang lebih tinggi.

BAZLI ILMAM menyifatkan pemilihannya untuk mengikuti pengajian dalam bidang TVET satu keputusan tepat.

“Setelah tamat pengajian peringkat sarjana muda, saya ingin bekerja di offshore,” ujarnya.

Tambahnya, bekerja di offshore adalah satu impiannya kerana ia menawarkan pendapatan yang agak tinggi.

Di offshore, seperti yang kita semua maklum, terdapat kawasan operasi yang dipanggil tapak atau site. Tapak ini ialah lokasi di mana proses pencarian dan pengeluaran bahan tenaga seperti minyak dan gas dijalankan.

Bahan tenaga yang diekstrak daripada tapak tersebut akan dihantar menggunakan kapal-kapal offshore yang bersaiz besar dan direka khusus untuk operasi laut dalam.

Selain itu, terdapat juga kapal khas dilengkapi teknologi untuk melakukan kerja-kerja penggerudian iaitu kapal yang mampu menjalankan operasi eksplorasi dan pengambilan sumber tenaga secara berdikari di tengah laut.

Jadi tenaga kerja yang mempunyai kemahiran di dalam kejuruteraan perkapalan amat diperlukan.

Bazli Ilmam menyifatkan, pemilihannya untuk belajar di dalam bidang tersebut merupakan satu pilihan yang tepat.

“Ini adalah laluan untuk saya bekerja di offshore pada masa hadapan.

“Jika saya tidak mengambil bidang ini mungkin saya tidak dapat mengejar impian saya,” katanya yang memberitahu menjadi pelajar kejuruteraan perkapalan juga memerlukan para pelajar memakai uniform perkapalan setiap hari ke kelas.

Bazli Ilmam menitipkan pesan kepada pelajar lepasan SPM yang masih belum tahu arah tuju untuk menyambung pengajian untuk memilih bidang TVET.

Tidak kira sama ada dalam bidang perkapalan, mekanikal atau apa-apa bidang teknikal lain, ia menawarkan laluan kerjaya yang kukuh.

“Pelajar dalam bidang TVET bukan saja belajar teori, tetapi turut menguasai kemahiran praktikal yang sangat diperlukan dalam industri.

“Hari ini, bidang TVET semakin berkembang di Malaysia dan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi semakin meningkat,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN