PETALING JAYA – Malaysia menegaskan komitmen memperkasa pembangunan luar bandar dan membasmi kemiskinan ketika Timbalan Perdana Menteri mewakili negara dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (14th AMRDPE) di Bangkok, hari ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau menekankan usaha Malaysia untuk memajukan luar bandar secara lebih inklusif dan berdaya tahan melalui inovasi, penglibatan komuniti, pendigitalan serta peluasan latihan TVET yang menjadi pemacu utama peningkatan taraf hidup rakyat.
“Malaysia turut melabur besar dalam infrastruktur luar bandar antaranya RM2.3 bilion bagi 1,364 projek jalan, RM195.2 juta bagi menyediakan bekalan air bersih kepada 5,000 rumah.
“Malah RM162.9 juta untuk memastikan bekalan elektrik stabil kepada 2,010 penerima,” kata beliau melalui satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) juga memperlihatkan impak ketara melalui peruntukan RM364.45 juta yang membantu lebih 10,000 keluarga menikmati kualiti hidup lebih baik.
“Selain itu, pembangunan sosioekonomi luar bandar terus diperkukuh menerusi sokongan kepada 55,400 usahawan khususnya dalam aspek pendigitalan bagi membantu mereka menembusi pasaran lebih luas di seluruh ASEAN,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan inisiatif Desa Kirana yang mempromosikan 25 destinasi agro dan ekopelancongan bagi memastikan masyarakat desa turut meraih limpahan ekonomi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.- KOSMO! ONLINE














