fbpx
Setelah lima tahun bersabar. Adib memilih untuk berpisah dengan isterinya disebabkan keengganan wanita itu untuk hamil kerana terlalu mahu menjaga bentuk badan.- Gambar hiasan

Isteri enggan hamil kerana mahu jaga badan ‘kerengga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCERAIAN yang berlaku antara Abid (bukan nama sebenar) dengan bekas isterinya sudah berlalu hampir tujuh tahun.

Pun begitu, momen pahit itu tidak pernah luput daripada ingatannya yang kini merupakan bapa kepada empat cahaya mata menerusi pernikahan kali keduanya.

Sekian lama menyimpan kisah silam tersebut, anak jati Melaka itu terbuka berkongsi kisah rumah tangganya dengan isteri pertama kepada K-Wanita sebagai pengajaran buat pasangan suami isteri lain.

Menurut eksekutif kewangan kanan itu, dia mula mengenali bekas isterinya ketika sama-sama menabur bakti di salah sebuah bank ternama di ibu kota.

Dari situ, cinta mereka mula berputik dan setelah tiga tahun menjalin kasih, mereka mengambil keputusan untuk bergelar suami isteri.

“Isteri saya kalau di tempat kerja memang dikenali dengan auranya yang begitu feminin.

“Bukan sahaja cantik, malah dia pemilik gelaran ‘ratu cantik’ sejak dari zaman universiti kerana memiliki bentuk badan umpama kerengga.

“Bukan semua dapat ‘jinakkan’ dia. Mungkin sudah tertulis jodoh, sayalah orangnya,” katanya membuka bicara.

Jelas Abid yang kini berusia awal 40-an, isterinya memang seorang yang mementingkan kesihatan luaran dan dalaman, selain aktif melakukan aktiviti fizikal.

Ujarnya, kadangkala mahu ajak keluar bersama pun susah kerana isterinya ingin ke gimnasium atau berjoging di tasik.

“Sejak remaja sampailah sudah bernikah, isteri saya memang seorang yang mementingkan penjagaan penampilan.

“Dia tak suka gemuk dan tak mahu jadi gemuk. Itu apa yang pernah diberitahu oleh isteri kepada saya. Bab makan pun dia sangat memilih.

“Dia (isteri) lebih gemar menahan lapar atau sekadar makan buah-buahan serta salad daripada menikmati makanan berat lain.

“Itu memang saya tahu sejak dari hari pertama kenal dia. Rutin itu dibawa sampailah kami bernikah dan tinggal bersama sebagai suami isteri,” katanya.

Cerita Abid lagi, disebabkan terlalu mementingkan kesihatan dan bentuk badan, isterinya kadangkala sanggup tidak hadir ke majlis keramaian keluarga.

“Semuanya dia elak untuk pergi kerana tidak mahu gemuk atau ‘hanyut’ dengan makanan.

“Itu saya masih boleh terima. Meskipun begitu, namun tanggungjawabnya sebagai isteri tetap dijalankan dan dia tidak pernah kurang ajar.

“Cuma apabila pernikahan kami sudah masuk tahun ketiga, saya sebagai suami mula mengidam mendapat zuriat.

“Pun begitu, isteri kerap kali minta saya bersabar kerana takut kalau bentuk badannya berubah jadi gemuk atau gelebeh selepas beranak.

“Dia takut beranak, lebih-lebih lagi apabila ada rakannya yang terus tak cantik lepas bersalin dan sukar hendak kurus kembali.

“Isteri pujuk saya dengan minta saya supaya bersabar sehingga tahun kelima perkahwinan sebelum dia bersedia untuk hamil. Jujur sepanjang bersama, isteri terlalu takut dan risau andai dia hamil,” luahnya lagi.

Seperti dijanjikan, usai mencapai tempoh lima tahun perkahwinan, isteri tetap tidak mahu dan belum bersedia mempunyai cahaya mata.

Hal itu membuatkan Abid berasa seolah-olah ditipu dan kesabarannya sebagai lelaki sudah tidak tertahan lagi.

“Isteri cakap, kalau saya sudah tidak boleh sabar untuk dapat anak, dia benarkan saya menikah lain atau melepaskannya.

“Itu pun kalau saya sudah tidak boleh bersabar lagi untuk tunggu ada anak dengannya. Jika masih boleh bersabar, dia minta saya tunggu beberapa tahun lagi. Ini kerana, dia belum bersedia nak ‘korbankan’ badannya demi seorang anak,” katanya.

Lama berfikir, Abid akhirnya memfailkan cerai terhadap isterinya di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang kerana sudah tidak boleh bersabar lagi. Selepas berpisah, Adib berharap Allah SWT membuka pintu hati bekas isterinya untuk hamil andai dia berkahwin lagi kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN