fbpx
Johari ketika sidang akhbar selepas melancarkan UK Partnering for Accelerated Climate Transitions 2.0 di Double Tree Hilton Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF

Isu UEC tidak perlu dipolitikkan – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak perlu dipolitikkan memandangkan sistem pendidikan negara menyediakan pelbagai pilihan untuk semua rakyat.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap ahli politik mempunyai pandangan masing-masing, namun perkara paling asas ialah memastikan rakyat dapat menghormati kepelbagaian yang wujud dalam negara.

“Jika anda rasa anda tidak suka UEC, maka tidak perlu mengambil aliran itu. Jika ada yang suka UEC, dan mereka fikir ia diiktiraf di peringkat antarabangsa, silakan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran UK – PACT 2.0 di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia menyediakan pelbagai laluan pendidikan bergantung kepada keperluan dan pilihan masing-masing.

“Dalam negara kita, terdapat banyak pilihan, universiti mana yang mahu dimasuki, aliran apa yang mahu diambil termasuk arus perdana mana yang mahu dipilih. Tidak ada paksaan.

“Tetapi jika anda masuk sekolah kebangsaan, ia sudah mempunyai silibus yang ditetapkan dan diselaraskan. Jadi saya rasa kita tidak perlu mempolitikkan perkara seperti ini,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

Kenyataan itu bagaimanapun telah menimbulkan polemik dan perbahasan dalam kalangan ahli politik dan pakar pendidikan berhubung keperluan pengiktirafan sijil berkenaan.

Untuk rekod, UEC telah dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini sejak 1975.

Ia kemudian mendapat pengiktirafan bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI