Sebelum ini di era 1980-an, isu berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak diceritakan secara terbuka kerana ia adalah topik yang sangat sensitif dan tidak diterima oleh masyarakat disebabkan ia dianggap perbuatan terkutuk.
Ia sesuatu yang ‘taboo’ atau dilarang keras untuk dilakukan disebabkan boleh membawa akibat negatif selain menerima kecaman dan kutukan daripada masyarakat selain mungkin mereka yang ingin melakukan perbuatan terkutuk itu berasa malu sekiranya terbongkar.
Hampir tiada kes yang melibatkan salah laku seksual seperti gay pada ketika itu, atau mungkin tiada media sosial seperti sekarang, jadi ia tidak bertebaran.
Selain itu, individu yang ada keinginan sedemikian berfikir 100 kali untuk melakukannya disebabkan penolakan masyarakat berhubung perkara itu.
Namun kini aktiviti songsang seperti gay yang pernah dilakukan kaum Sodom ketika zaman Nabi Lut semakin galak dan dibincang secara terbuka dan meluas di media sosial.
Budaya songsang itu semakin parah dirai dan dinormalisasi dalam sesetengah kelompok terutama dalam kalangan generasi muda yang aktif di media sosial.
Mereka sudah tidak ada perasaan malu dengan menguar-uarkan perkara itu secara terbuka seolah-olah menjadi satu keseronokan jika semua orang tahu kegiatan songsang itu.
Platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan X kini menjadi medan peragaan untuk mendapatkan pujian atas ‘keberanian’ golongan berkenaan.
Ada juga segelintir pempengaruh secara terbuka mempromosikan gaya hidup LGBT kepada pengikut mereka yang majoritinya remaja di bawah umur.
Isu budaya songsang ini mencapai kemuncaknya apabila baru-baru ini, seramai 201 individu ditahan polis termasuk tujuh pekerja premis sebuah pusat spa dan kesihatan yang disyaki menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul serta melakukan aktiviti tidak bermoral di Chow
Kit, Kuala Lumpur.
Seramai 24 warga asing ditahan, manakala selebihnya adalah warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun dan polis turut merampas kondom dan beberapa barangan berkaitan aktiviti tidak bermoral.
Beginilah jadinya apabila sifat malu sudah hilang dalam diri seseorang, akhlak menjadi rosak dan berada di ambang ‘kebinasaan’.
Malu sebahagian daripada iman dan apabila ia dicabut, seseorang itu akan menjadi lebih cenderung melakukan perbuatan yang keji, memualkan dan suka menyebar kebencian.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jika kamu tidak malu, maka buatlah sesuka hatimu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hari ini kita hidup di zaman manusia sudah mula hilang perasaan malu. Sudah tidak ada malu untuk membuat maksiat, berdusta, memfitnah dan menipu kerana semuanya dianggap biasa.
Perlu diingat, Allah menurunkan azab memterbalikkan negeri Sodom dan dihujani batu dari tanah terbakar kerana mereka terus menerus melakukan perbuatan terkutuk seperti homoseksual, merompak dan melakukan kerosakan di muka bumi.
















