PETALING JAYA – Jabatan Perdana Menteri hari ini menerima Kenderaan Berkuasa Hidrogen, ‘Fuel Cell Electric Vehicle’ (FCEV) Toyota Mirai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerahan kenderaan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh agenda negara ke arah mobiliti hijau melalui teknologi rendah karbon dan pertumbuhan ekonomi bagi masa depan yang lebih mapan.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan keyakinan rakan industri daripada tempatan dan antarabangsa terhadap dasar dan hala tuju Malaysia, khususnya dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara.
“Penyerahan kenderaan ini akan merancakkan kerjasama rentas sempadan serta memacu inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.
“Kerajaan Madani akan terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar dalam memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut menjadi peneraju dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. – KOSMO! ONLINE














