fbpx
Seorang warga emas terperdaya dengan video AI sanggup datang ke sekolah Ustaz Wadi Annuar di Kedah untuk membeli ubat sakit mata.

Nenek terperdaya AI, datang dari Perlis nak beli ubat Ustaz Wadi Annuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang warga emas terperdaya dengan video dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli ubat sakit mata kononnya dijual oleh pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.

Pentadbir Facebook rasmi Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran Facebook memaklumkan, nenek tua bertongkat itu datang dari Perlis ke sekolahnya di Kedah bagi membeli ubat sakit mata berkenaan.

“Nenek itu beritahu bahawa dia percaya video iklan yang dibuat dengan AI itu adalah benar-benar daripada ustaz, padahal ia palsu.

“Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah,” katanya.

Selain ubat sakit mata itu, orang ramai juga ada menghubungi Ustaz Wadi Annuar untuk mengadu bahawa produk seperti buah aprikot yang mereka beli tidak sama langsung dengan yang dipromosikan.

“Mereka terperdaya dengan video yang nampak seolah-olah ustaz sendiri bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya.

“Teknologi AI ‘lip-sync’ digunakan supaya gerakan bibir kelihatan selari dengan ucapan, menjadikan video itu nampak asli.

“Walaupun sebahagian produk itu memang wujud dan sampai ke tangan pembeli, tetapi Ustaz Wadi tidak pernah menjual atau mempromosikannya. Semua iklan itu adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” menurut hantaran berkenaan.

Sehubungan itu, pihak Ustaz Wadi Annuar menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak sumber rasmi Ustaz Wadi Annuar sebelum mempercayai sebarang iklan supaya tidak terperdaya.

“Kepada pihak yang membuat scam ini, ingatlah, menipu orang lain tidak mendatangkan kebaikan dan keberkatan. Hentikan perbuatan ini dan gunakan tenaga untuk perkara yang bermanfaat.

“Semoga kita semua belajar dari kejadian ini dan lebih berhati-hati di masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN