HULU TERENGGANU – Hajat seorang guru dan pengusaha kantin sekolah untuk mengikat tali perkahwinan pada Hari Krismas ini tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki mereka jatuh ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring, Bukit Kawah, di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 5.30 petang itu mengorbankan Hassan Shazali, 52, yang merupakan Penolong Kanan (Kokurikulum) Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan pasangannya, Suzaimah Che Azis, 34.
Mereka yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dikatakan melalui jalan tersebut yang sudah hampir setahun ditutup untuk kegunaan awam akibat tanah runtuh untuk pulang ke Kampung Lebir, Gua Musang, Kelantan dari Kuala Terengganu.
Ibu Suzaimah, Fauziah Mahmud, 58, berkata, Suzaimah yang merupakan ibu tunggal anak tiga merancang untuk melangsungkan pernikahan dengan Hassan pada 25 Disember ini.
“Kami merancang mengadakan majlis secara kecil-kecilan sahaja dengan sebahagian barang hantaran sudah disiapkan.
“Sayu saya dimaklumkan polis, pakaian pengantin antara yang dijumpai dalam kenderaan (Toyota Fortuner) dinaiki mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.
Fauziah berkata, dia dimaklumkan Suzaimah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik keluar dari rumah mereka di Kampung Lebir pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, pada mulanya, dia tidak tahu anak perempuan keluar dengan Hassan sehinggalah berlakunya kemalangan tersebut. – KOSMO! ONLINE














