DI SEBALIK deretan pingat emas yang pernah dijulang, legenda sepak takraw negara, Haris Abdul Rahman, kini menyimpan satu kerinduan yang mendalam terutama terhadap suasana harmoni dan ‘wajah majmuk’ yang pernah mewarnai gelanggang sepak takraw negara suatu ketika dahulu.
Haris, 74, bekas apit kanan yang cukup digeruni dari Muar, menyifatkan sukan warisan ini semakin hilang seri perpaduannya apabila penyertaan kaum bukan Melayu yang pernah memeriahkan arena pada era 70-an hingga 90-an kini kian lenyap.
Bagaimanapun, bekas jurulatih negara yang pernah melatih pemain Korea Selatan itu optimis bahawa satu hari nanti, barisan pemain kebangsaan akan kembali dimeriahkan oleh atlet pelbagai kaum.
Jangkaan itu susulan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggerakkan Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepak Takraw Perpaduan Kaum ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
Tegasnya, program tersebut dijangka menjadi pemangkin perubahan besar kepada sukan tradisi Melayu itu dengan membuka peluang kepada murid Cina dan India untuk mengisi posisi utama sebagai tekong, perejam (killer), dan pengumpan (feeder).
“Zaman saya bermain sekitar tahun 70-an hingga 90-an, kita ada pemain hebat dari bangsa India mahupun Cina.
“Mereka ini bukan sekadar pelengkap pasukan, tetapi bersaing hebat dengan pemain Melayu. Namun, generasi itu sudah berlalu dan budaya bermain takraw dalam kalangan kaum Cina dan India nampaknya semakin pudar ditelan zaman.
“Tetapi saya berbangga apabila melihat PSM dan KBS benar-benar serius mahu mencungkil bakat baharu daripada pelbagai bangsa. Ini adalah permulaan yang cukup positif untuk kita melahirkan tekong mahupun perejam daripada kaum lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya yang memiliki rekod kejayaan luar biasa, termasuk pingat emas acara berpasukan Sukan SEAP 1972, pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan Asia Hiroshima 1994.
Sementara itu, beliau turut menggesa agar usaha badan induk tersebut tidak terhenti setakat di situ, malah mahu Persatuan Negeri turut memainkan peranan penting mencari bakat baharu dari ceruk kampung-kampung dan daerah serti kawasan komuniti Cina dan India.
Senada dengan visi tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan kepentingan Akademi Sepaktakraw Malaysia yang bakal siap Februari 2026 sebagai pusat melahirkan pemain kebangsaan berbilang kaum.
Justeru, Hannah bercadang mewujudkan konsep ‘satu murid, satu bola sepak takraw’ bagi program KLAS akan datang bertujuan memupuk minat yang mendalam terhadap sukan berkenaan.
Penulis percaya, langkah proaktif KBS di bawah kepimpinan Hannah Yeoh ini bukanlah sekadar gimik politik sukan, sebaliknya satu ‘pelaburan’ jangka masa panjang dan strategi ampuh untuk meruntuhkan stigma bahawa sepak takraw hanya eksklusif untuk satu kaum.














