PETALING JAYA – Pemergian figura politik Sabah yang lantang dan penuh warna-warni, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini meninggalkan ruang besar dalam landskap politik tanah air.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua UMNO negeri itu merupakan suara yang tidak pernah takut sepanjang lebih dua dekad berkecimpung dalam arena politik.
Kelantangan Allahyarham adakala menimbulkan persepsi dan perspektif kemandirian, namun kehilangannya meninggalkan satu bentuk politik yang tegas dan berani.
Bung Moktar yang berasal dari daerah pedalaman Kinabatangan dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan.
Membesar dalam persekitaran kampung yang sederhana dan jauh dari pusat pembangunan bersama ibunya, Rashidah Jikrun dan bapanya, Radin Yatim.
Bung Moktar melalui perjalanan sekolah rendah dan menengah di Sandakan sebelum menyambung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) menambah ketajaman beliau dalam berhujah serta menganalisis masalah rakyat selaku ahli politik.
Sebelum memasuki politik arus perdana, Bung Moktar memulakan kerjaya dalam sektor awam bermula di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1990, kemudian di Mara Sandakan sehingga 1992.
Antara 1994 hingga 1999, beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah yang memberikan pengalaman mendalam tentang tadbir urus, kewangan dan pengurusan negeri.
Tahun 1999 menjadi titik penting dalam karier politiknya apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan mengekalkan kerusi tersebut selama enam penggal berturut-turut.
Menjadikan beliau antara wakil rakyat paling lama berkhidmat untuk kawasan pedalaman Sabah kerana hubungan eratnya dengan penduduk Kinabatangan.
Bung Moktar pernah memegang beberapa jawatan penting parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).
Beliau juga memainkan peranan besar pasca 2018 ketika UMNO Sabah berdepan kemelut besar dan penghijrahan ahli ke parti lain.
Bung Moktar tampil sebagai tonggak penyatuan dan seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Sabah serta Pengerusi BN Sabah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Sepanjang tempoh itu, beliau lantang memperjuangkan isu pembangunan, penyelenggaraan jalan raya dan keperluan asas terutama di pedalaman.

Pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan sengit enam penjuru.
Salah satu aspek paling dikenang tentang Bung Moktar adalah kelantangannya dalam Dewan Rakyat sebagai pemidato yang tegas, berterus terang dan tidak berselindung.
Gaya percakapannya kadangkala mengundang kontroversi, namun keberanian itu yang menjadikan suara rakyat Sabah kedengaran di peringkat nasional.
Antara isu paling kuat beliau pernah ketengahkan di Parlimen adalah mengenai pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo.
Bung Moktar berkali-kali menegur kelewatan projek, malah pernah mendakwa wujud kontraktor tidak layak dalam pakej tertentu.
Walaupun kritikan itu keras, ia membuka mata banyak pihak tentang kelemahan tadbir urus projek mega yang amat penting untuk Sabah.
Bung Moktar juga dikenang sebagai wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat akar umbi yang sering hadir dalam urusan kampung tanpa protokol.
Dalam wacana politik, beliau tidak pernah takut menegur pihak mempolitikkan isu agama dan kaum kerana baginya, pembangunan negeri jauh lebih penting berbanding retorik politik.
Keupayaan beliau mengimbangi realiti politik dengan kepentingan rakyat menjadikannya antara figura politik Sabah paling berpengaruh.
Pemergian Bung Moktar semalam pada usia 66 tahun akibat komplikasi paru-paru dan buah pinggang meninggalkan kesan mendalam kepada negara.
Beliau bukan sekadar ahli politik, tetapi suara Sabah yang berani menuntut keadilan pembangunan dan menegur kerajaan sehingga ke peringkat tertinggi.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad serta tujuh orang anak. -KOSMO! ONLINE














