fbpx
Gambar hiasan.

Amalan pemberian cuti khas, cuti peristiwa tingkat kos buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemberian cuti khas atau cuti peristiwa sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri menimbulkan pelbagai cabaran kepada pihak industri.

Senator Robert Lau Hui Yew berkata, pengumuman cuti khas dalam tempoh masa yang sangat singkat seperti selepas kemenangan dalam acara sukan meningkatkan kos buruh.

Menurut beliau, amalan tersebut turut menjejaskan perkhidmatan kerajaan seperti perjalanan kes mahkamah dan temujanji yang terpaksa dibatalkan atau dijadualkan semula.

“Bayaran (kepada pekerja) tiga kali ganda daripada biasa serta kos pentadbiran tambahan. Bolehkah menteri menjelaskan garis panduan atau pentimbangan yang digunakan ketika mengisytiharkan cuti khas?

“Adakah kerajaan akan meneliti semula amalan ini bagi mengurangkan gangguan serta kos yang tidak perlu kepada perniagaan dan perkhidmatan awam?,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan sedar pengumuman cuti khas memberi kesan kepada kitaran ekonomi negara.

Menurut beliau, pekerja perlu diberi cuti bergaji atau dibayar mengikut kadar hari kelepasan am sekiranya perlu hadir bekerja antara dua hingga kali ganda.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, hanya satu hari cuti khas pernah diumumkan Perdana Menteri iaitu tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.

Jelasnya, ia merupakan penghargaan kepada rakyat dengan tujuan memberi ruang untuk rakyat memperkukuhkan perpaduan, meraikan semangat kebangsaan dan menghargai pembentukan Malaysia.

“Pada masa sama cuti tambahan dapat merancakkan ekonomi tempatan secara tidak langsung melalui pergerakan domestik semasa bercuti.

“Setakat ini belum ada perancangan untuk membuat garis panduan cuti khas, tetapi saya berpandangan adalah wajar supaya peruntukan ini digunakan ke atas peristiwa-peristiwa berkepentingan nasional,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan cuti panjang seperti ‘Golden Week’ di Jepun.

Jelas beliau, amalan rakyat Malaysia memang selalu merancang cuti panjang seperti menggabungkan cuti umum dengan cuti rehat tahunan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI