PETALING JAYA – MDua Motor Sdn. Bhd. semalam melancarkan sebuah skuter terbaharu di bawah jenama MODA, iaitu Aero E yang ditawarkan pada harga RM5,189.
Pengurus Jenamanya, Micheal Yeoh berkata, Aero E merupakan model keempat yang dilancarkan oleh MODA pada tahun ini.
Menurutnya, selepas kejayaan kukuh MODA Sporter-S, diikuti oleh Shifter 400X serta Moca, mereka meneruskan misi untuk membawa sesuatu yang segar ke dalam segmen skuter.
“MODA berdiri sebagai jenama skuter Malaysia yang pertama, dibangunkan dengan satu misi iaitu untuk memberi tumpuan khusus kepada skuter yang sesuai dengan gaya hidup penunggang masa kini.
“Hari ini, kami meneruskan perjalanan tersebut dengan penambahan model terbaharu iaitu Aero E, sebuah skuter 125cc yang direka untuk penunggang muda dan aktif,” katanya pada majlis pelancaran.
Micheal menambah, di pasaran sekarang terdapat banyak skuter kecil yang dilengkapi sistem pencahayaan yang tidak cukup terang untuk tunggangan malam.
Jelasnya, ramai penunggang terpaksa melakukan modifikasi, memasang lampu ‘aftermarket’, atau membuat pelarasan tertentu hanya untuk merasa lebih selamat ketika menunggang di lebuh raya atau jalan yang kurang terang.
“Kami memandang serius perkara ini, itulah sebabnya kami berbangga untuk memperkenalkan salah satu ciri terbaik pada Aero E yang hadir dengan pakej pencahayaan yang mengagumkan,” ujarnya.
Bahagian hadapan skuter tersebut dilengkapi dengan dwi projektor LED yang memberikan pencahayaan jelas dan terang, membantu penunggang melihat jalan dengan lebih yakin.
Bahagian belakang pula dilengkapi lampu LED rentang penuh, memberikan Aero E penampilan premium dan tersendiri sambil memastikan ia lebih mudah dilihat dari arah belakang. – KOSMO! ONLINE














