SUNGAI PETANI – “Kami nyaris maut apabila bot terbalik ketika mahu selamatkan rakyat Malaysia terkandas di Hatyai, namun itu tidak patahkan semangat kami untuk terus hulur bantuan.”
Demikian kongsi Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat apabila bot penyelamat dinaiki empat anggota terbalik dihentam arus deras ketika misi menyelamat rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand baru-baru ini.
Katanya, ia merupakan operasi menyelamat paling mencabar sejak 2007 kerana merupakan operasi pertama pasukan di luar negara.
“Kami berdepan keadaan yang tidak dijangka, laluan ditenggelami air dan pada awalnya tidak mendapat kebenaran Thailand, namun urusan dipermudahkan selepas melihat kesungguhan kami,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, detik cemas berlaku ketika mereka menghampiri Hotel W3 untuk menyelamatkan 15 pelancong yang terputus hubungan sebelum bot mereka dihentam arus kuat sebelum terbalik dan hanyut.
“Keadaan waktu itu kelam-kabut kerana kami tercampak ke dalam air, namun kami bernasib baik apabila diselamatkan sukarelawan Thailand. Bot kami ditemui semula keesokan hari,” ujarnya.
Katanya, semasa di sana, pihaknya menerima ratusan panggilan daripada keluarga mangsa dalam keadaan talian telefon kerap terputus selain penggunaan walkie-talkie tidak dibenarkan.
“Kami mendapat maklumat ada mangsa pengsan dan kanak-kanak mengalami cirit-birit. Kami berusaha untuk menyelamatkan mangsa walaupun ada beberapa hotel sukar didekati kerana wayar elektrik berselerak yang membahayakan.
“Dengan usaha berulang-alik tanpa henti, pasukan sukarela akhirnya berjaya membawa keluar sebahagian besar mangsa yang terperangkap,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tempoh lima hari, lebih 1,500 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan sebelum dihantar pulang ke Danok.
“Cabaran yang kita tempuhi sepanjang misi ini menjadi pengalaman paling berharga untuk memperkukuh kesiapsiagaan kami pada masa depan,” katanya.














