Saudara Pengarang,
Bagi mereka yang menggunakan Jalan Temiang-Pantai dekat Seremban, Negeri Sembilan pastinya terpesona dengan pemandangan indah di sepanjang laluan kira-kira 12 kilometer yang dikatakan setanding dengan kawasan berbukit di luar negara.
Tidak hairanlah sebahagian pengguna jalan tersebut memberikan laluan itu dengan jolokan ‘New Zealand’ seolah-olah kita berada di kawasan pergunungan negara Kiwi itu apabila melaluinya.
Jalan tersebut sebenarnya dibina untuk memendekkan tempoh perjalanan pengguna dari Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) ke Kuala Klawang dan Simpang Pertang di Jelebu. Ia siap dibina pada 23 Julai 2021 dan dibuka kepada lalu lintas pada 26 Ogos 2021.
Sayangnya di sebalik keindahan pemandangan di laluan itu, tiada lampu jalan dipasang di situ menyebabkannya pemanduan pada waktu malam agak berbahaya lebih-lebih lagi jika berlaku sebarang kecemasan terutamanya kepada penunggang motosikal.
Dilaporkan pada 2022, isu pemasangan lampu jalan di kawasan tersebut sudah disampaikan kepada pihak berwajib, namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.
Satu perkara lagi, pihak berwajib terutama kerajaan negeri juga perlu membina hentian atau tempat meletak kenderaan di sepanjang laluan tersebut bagi memberi kemudahan kepada pengguna berhenti dan merakam gambar kawasan itu.
Biarpun terpesona dengan keindahan, namun pengguna tidak boleh merakam gambar kerana bimbang disaman polis atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Perlu diingat laluan itu semakin terkenal dan jumlah mereka yang melaluinya semakin meningkat sejak ia tular dan terdapat pengguna yang datang dari jauh hanya untuk bergambar dengan rakan-rakan di situ.
Yang berharap
Nilai, Negeri Sembilan














