SHAH ALAM – Juri tetap Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Syafinaz Selamat mengakui sudah mula berasa bosan dengan persembahan yang dipamerkan oleh barisan peserta program realiti nombor satu negara terbabit.
Menurut Syafinaz, menghampiri minggu keenam pertandingan, peserta seharusnya menunjukkan daya saing yang tinggi namun perkara tersebut masih dalam kesamaran.
“Sejujurnya ada masanya saya rasa bosan sedikit. Sudah minggu kelima, tetapi saya rasa prestasi mereka agak perlahan. Saya harap mereka tekan minyak lebih sikit.
“Saya agak kecewa kerana ada peserta yang membuat persembahan seolah-olah sesi karaoke sahaja.
“Saya mahu mereka berikan bukan 100 peratus tetapi 150 peratus. Kasihan peminat mereka mengharapkan yang terbaik. Mereka datang setiap minggu,” katanya kepada Kosmo Online.
Tambahnya lagi, biarpun Datuk Elaine Kang sudah tersingkir, tetapi dia antara peserta yang menunjukkan kesungguhan untuk berikan yang terbaik.
Pada konsert minggu kelima yang berlangsung semalam, Rahmat Ekamatra hampir tersingkir apabila menjadi peserta yang mendapat markah tercorot.
Rahmat menyampaikan lagu Semuanya Sudah Terlambat nyanyian asal Shidee dan hanya berjaya mengumpul markah sebanyak 56 peratus.
Namun pada akhir rancangan, namanya diumumkan masih akan meneruskan perjalanan di minggu keenam.
Peserta dari Singapura iaitu Iskandar Ismail pula muncul sebagai peserta yang mendapat markah tertinggi untuk kali kedua berturut-turut dengan markah sebanyak 74.5 peratus.
Minggu lalu menyaksikan Shy8 dan Datuk Elaine Kang menjadi peserta terawal yang tersingkir.
Tinggal 11 lagi peserta yang akan mara ke peringkat seterusnya iaitu Iskandar Ismail, Mendua, Nubhan, Mark Adam, Krisya, Freshies, Shae, Mel Sakura, Korie, Ruri Republik dan Rahmat Ekamatra. – KOSMO! ONLINE














