Spesies Channa yang tidak wujud di negara kita ini sememangnya anggun sekali.

Menjejak The Goblin Danau Sentarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sinilah alam mengekalkan rahsia lamanya, di mana tasik, paya dan hutan banjir bernafas dalam kitaran abadi, seolah-olah masa berhenti berputar.

Taman Negara Danau Sentarum bukan sekadar destinasi ekopelancongan, sebaliknya menjadi salah satu keajaiban semula jadi yang berubah wajah mengikut musim.

Ketika air naik, pohon-pohon tenggelam membentuk perairan tenang sejauh mata memandang. Namun apabila kemarau datang, semua airnya hilang menjadi daratan kering kontang.

Dalam keheningan hutan banir yang tidak terusik oleh arus moden, saya menjejak impian yang telah lama dipendam iaitu memburu ikan yang digelar ocellated snakehead (Channa pleurophthalma) dengan nama julukan The Goblin.

Spesies yang turut dikenali penduduk tempatan sebagai ikan kerandang itu telah lama menghantui fikiran saya kerana ia bukan sekadar ikan, namun simbol keanggunan alam.

‘Jantung’ Kalimantan

Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur menuju Sibu, Sarawak, sebelum menempuh laluan darat berliku ke Lubok Antu iaitu pintu sempadan Malaysia-Indonesia.

Kemudian, kami bergerak menuju ke sempadan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk melepasi Pos Badau di Indonesia.

Ikan ini mendapat nama julukan ‘The Goblin’ kerana warna dan coraknya yang unik.

Di sini pengembaraan sebenar bermula. Enam jam menaiki bot panjang yang membelah kawasan tasik luas diselimuti kabus pagi tebal.

Pemandangan bagaikan satu jendela ke zaman prasejarah, tiada peradaban, hanya bunyi unggas dan desiran air menemani.

Musim turut memainkan peranan penting di sini. Air di Danau Sentarum boleh menenggelamkan seluruh hutan. Namun ketika musim kemarau, kawasan yang sama akan bertukar menjadi tanah kering yang luas.

Alam di sini tidak pernah statik, ia bagaikan hidup dan bernafas dalam kitaran yang penuh dramatik, sekali gus menuntut kekuatan fizikal dan mental.

Setelah tiba di destinasi yang dituju, kami menumpang di sebuah perkampungan di tepi sungai, komuniti yang hidup secara sederhana di hutan belantara ini.

Memburu The Goblin

Lebih 10 tahun lalu, saya pertama kali mengenali The Goblin melalui pelbagai media. Gambar seekor Channa pleurophthalma berwarna biru neon yang diangkat di tebing Kapuas cukup untuk menanam satu azam bahawa suatu hari nanti, saya sendiri akan berdiri di tanah itu, bergaya memegang spesies ikan sama.

Penting untuk kita mengetahui bahawa spesies ini berbeza dengan kerandang (Channa marulioides) yang terdapat di Malaysia.

Profil badannya yang tegap agak mirip ikan toman, berbeza dengan kerandang atau toman bunga yang terdapat di negara kita.

Walaupun kedua-duanya daripada keluarga Channidae, The Goblin memiliki corak yang lebih kemas dan menonjol, seakan cincin-cincin emas di sisi badannya.

Warna kebiruannya pula hanya dapat disaksikan apabila disimbah cahaya semula jadi.

Suasana perkampungan di pedalaman Danau Sentarum.

Untuk misi ini, saya memilih set ultralight, satu pertaruhan yang ramai anggap gila. Namun bagi saya, ini bukan sekadar menangkap ikan, ia tentang menikmati setiap detik antara lontaran dan sambaran.

Dalam dunia ultralight, setiap getaran kecil di hujung tali membawa makna. Ia memaksa kita menajamkan deria, membaca keadaan air dan merasai denyut kehidupan dari dasar tasik yang gelap.

Setiap lontaran adalah seperti harapan, setiap henjutan adalah ujian. Ketika umpan jatuh di celah
akar terapung, perasaan teruja diselang-seli dengan debaran
menanti gewang disambar.

Bila akhirnya tali menegang dan joran melentur, debaran itu seolah-olah menghidupkan makna dan tujuan ekspedisi ini.

Falsafah ultralight di Sentarum

Di Danau Sentarum, saya belajar tentang kesederhanaan. Penduduk tempatan hidup berdamping dengan alam, tidak melawan arusnya, hanya menyesuaikan diri dengan ritma kehidupan yang telah ditetapkan.

Daripada mereka saya belajar bahawa semua perkara tidak terletak pada kekuatan, tetapi pada tekad terhadap setiap perkara.

Namun di tengah hutan air yang jauh dari tempat kelahiran, saya belajar bahawa kesempurnaan sebenar bukan pada hasil tetapi pada perjalanan itu sendiri.

Ultralight bagi saya bukan sekadar kategori peralatan. Ia satu falsafah hidup yang mengajar kita untuk me­nahan ego untuk mendengar lebih daripada berbicara, menikmati setiap perlawanan bukan kerana saiz tangkapan tetapi prosesnya.

Danau Sentarum turut meninggalkan parut kenangan yang sukar dipadamkan.

The Goblin yang saya buru bukan sekadar trofi untuk disiarkan di media sosial tetapi lebih kepada pencarian lebih besar.

Pencarian terhadap ketenangan, kefahaman dan penghargaan terhadap keindahan alam yang sering kita abaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN