NILAI – Tiada apa yang lebih membahagiakan buat seorang wanita selain daripada meraikan dua kejayaan besar dalam hidupnya iaitu sebagai graduan dan bakal ibu.
Aliya Yasmin Mohamad Nizam, 26, yang kini sedang hamil lapan bulan menjadi antara graduan yang menerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Katanya, kejayaan itu dianggap cukup istimewa selepas mengenangkan segala pengorbanannya untuk menghabiskan pengajian di universiti berkenaan.
“Menjadi seorang pelajar dan seorang isteri yang sedang mengandung bukanlah satu perkara yang mudah terutamanya sewaktu menjalankan tugasan yang memerlukan pergerakan yang banyak.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana semuanya dalam keadaan baik.
“Saya pernah berdepan satu ujian yang paling membimbangkan iaitu keperluan menyertai program luar selama empat hari tiga malam di Pulau Besar, Melaka, sewaktu kandungan berusia empat bulan lebih.
“Aktiviti lasak, pergerakan banyak dan lokasi terpencil menjadikan situasi itu penuh risiko. Alhamdulillah pemantauan pensyarah serta jurulatih yang tidak pernah lekang memastikan keselamatan saya memberi keyakinan buat untuk terus mengikuti program tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengakui, minat mendalam terhadap dunia pendidikan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menamatkan pengajian peringkat diploma.
“Saya ingat lagi, ada malam-malam panjang menyiapkan tugasan sambil menahan keletihan. Ada hari-hari peperiksaan yang ditempuhi dengan nafas pendek dan langkah perlahan. Namun sokongan suami dan keluarga menjadi kekuatan yang membuatkan saya sampai ke garisan penamat,” katanya.
Sementara itu, kegembiraan turut dirasai seorang lagi graduan dengan penjuangan yang cukup luar biasa.
Ahmad Taufiq Mat Yaacob, 28, yang sudah bergelar graduan kejuruteraan sejak 2021, kembali ke USIM demi mencapai cita-cita sebenar menjadi seorang guru bagi mengikut jejak tiga lagi adik-beradiknya.
“Setelah menamatkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), saya menerima dua tawaran serentak iaitu Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di USIM.
“Atas nasihat ibu dan melihat semua adik-beradik saya yang berkhidmat sebagai guru, saya memilih untuk melanjutkan kembali di peringkat ijazah,” kongsi Taufiq yang menguruskan ladang pertanian dan berkhidmat sebagai Guru Ganti KAFA di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal.
Dalam sidang ketiga semalam, seramai 743 graduan diraikan melibatkan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) dan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian.















