fbpx
KOLEKSI Hari Raya 2026 turut menonjolkan fesyen baju Melayu yang lebih fleksibel dan sesuai digayakan bukan sahaja semasa Aidilfitri tetapi juga dalam suasana santai atau acara sosial.

Evolusi pakaian tradisi ke fesyen moden baju Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAJU Melayu merupakan lambang identiti budaya dan estetika bangsa Melayu yang telah wujud berabad lamanya, berpunca daripada sejarah pakaian masyarakat Melayu di Kepulauan Melayu.

Secara tradisinya, ia terdiri daripada baju berlengan panjang serta seluar panjang, lengkap dengan kain samping yang dililit di pinggang dan digandingkan bersama songkok ketika sambutan perayaan dan majlis formal keluarga.

Namun, pada era moden, baju Melayu tidak lagi kekal sebagai entiti statik semata-mata. Pengaruh fesyen kontemporari dan gaya hidup baharu membentuk persepsi fesyen tradisional ini ke arah yang lebih pelbagai.

Salah seorang pereka yang konsisten mencabar norma fesyen tradisional adalah Anuar Faizal menerusi koleksi Hari Raya 2026.

Menurutnya, dia menggabungkan elemen moden dengan tradisi untuk membawa nafas baharu kepada pakaian Melayu lelaki.

“Sebagai contoh, dalam koleksi Hari Raya kali ini saya menghadirkan reka bentuk boho-chic dengan motif paisley serta pilihan warna berani seperti fuchsia, turquoise (biru firus) dan emerald yang memancarkan gaya kontemporari sambil mengekalkan akar budaya Melayu.

“Motif unik ini digabungkan dengan siluet longgar sehingga oversized (saiz besar),” katanya ketika ditemu bual CitaRasa pada pertunjukan fesyen Raya Anuar Faizal di Feruni Ceramiche, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, koleksi ini bukan sekadar pakaian raya biasa tetapi refleksi evolusi fesyen lelaki moden yang mahukan keselesaan, kemewahan dan identiti tersendiri dalam memilih busana perayaan.

Koleksi ini juga menonjolkan bahawa fesyen baju Melayu boleh lebih fleksibel, sesuai digayakan bukan sahaja semasa Aidilfitri tetapi juga dalam suasana santai atau acara sosial lain.

Katanya lagi, trend kontemporari dalam koleksi kali ini bukan hanya terbatas kepada corak dan warna semata-mata.

“Ia memperlihatkan bagaimana pereka kini mengolah elemen kain, potongan dan fungsi pakaian agar lebih selaras dengan nafas kehidupan moden tanpa mengorbankan nilai tradisi yang telah lama diwarisi.

“Pendekatan seperti ini juga mendapat sambutan daripada generasi muda yang mencari identiti fesyen yang lebih relevan dengan gaya hidup mereka,” ujarnya.

Selain itu, jenama tempatan seperti Keris & Co. turut menjadi contoh bagaimana baju Melayu klasik boleh dikembangkan menjadi koleksi fesyen raya yang segar dan relevan untuk pengguna moden.

Kata pengasasnya, Hanzat Azmi, jenama itu menawarkan variasi baju Melayu Teluk Belanga Indera dalam pelbagai pilihan warna menarik termasuk sage green, biru laut, nude, mustard, biru muda dan merah jambu muda.

“Rekaan dan warna yang ditampilkan dalam koleksi ini membolehkan lelaki memilih pakaian tradisi yang bukan sahaja lengkap untuk sambutan hari raya tetapi juga boleh digayakan secara kasual atau semi-formal selepas musim perayaan,” kongsinya.

Katanya lagi, salah satu kekuatan koleksi Keris & Co. ialah penekanan terhadap pilihan warna yang lebih berani dan beragam, menyediakan ruang kepada pemakai untuk mengekspresikan gaya peribadi mereka sambil masih menghormati estetika tradisional Melayu.

Pendekatan tersebut menjadikan koleksi baju Melayu daripada jenama ini sesuai bukan sahaja pada pagi Aidilfitri tetapi juga sambutan keluarga, majlis sosial atau acara formal lain, sekali gus memperlihatkan bahawa pakaian tradisi boleh melangkaui fungsi semata-mata busana perayaan.

“Keris & Co. juga memasarkan koleksi kurta moden seperti Kurta Malik dan Kurta Tuah yang memperluaskan pengaruh pakaiannya kepada gaya Melayu kontemporari yang lebih santai tetapi tetap sopan.

“Koleksi kurta ini turut memberi pilihan kepada lelaki yang mahu tampil berfesyen tetapi dengan siluet yang lebih fleksibel berbanding set tradisional penuh,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN