fbpx
Mangsa yang lemas dijumpai oleh anggota bomba di anak Sungai Batu 5, Tanah Merah hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

‘Saya hilang tenaga, terpaksa lepas tangan ibu hingga dihanyut banjir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Hajat seorang wanita untuk menghantar ibunya ke rumah saudara-mara selepas kediamannya dinaiki air tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki terjerlus ke dalam lubang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Siti Gayah Zakaria, 70, lemas dihanyut ke arah anak Sungai Batu 5 manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, selamat selepas bertarung nyawa di dalam air ketika cuba menyelamat ibunya.

Shamila Suzie berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan ibunya meskipun sudah berjaya membuka pintu selepas kereta jenis Proton Saga FLX dipandunya hanyut.

“Selepas banyak kali menarik tangan ibu, saya sudah hilang tenaga dan hanya dapat menyelamatkan diri sendiri. Saya ketika itu sudah penat dan hanya mampu meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari ibu yang lemas.

“Anggota bomba menjumpai jasad ibu kira-kira pukul 7.49 pagi tadi. Kereta saya yang hanyut pula ditemukan tersangkut pada pembetung air di anak sungai itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.13 pagi dan jasad mangsa ditemui sekitar pukul 7.49 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kematian warga emas itu merupakan kes kedua melibatkan mangsa lemas di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini selepas kes seorang wanita warga Indonesia yang maut dihanyut kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI