PETALING JAYA – Negeri Sabah yang kaya dengan destinasi pelancongan popularnya seperti Gunung Kinabalu dan di Kundasang, negeri di bawah bayu ini juga menjadi tuan rumah bagi beberapa acara ekstrem bertaraf antarabangsa yang mengumpul ramai peminatnya dari seluruh dunia.
Salah satunya adalah ekspedisi Borneo Safari ke-33 iaitu acara ekstrem ‘offroad’ yang terbesar di rantau ini.
Ekspedisi tahun ini telah menarik konvoi besar sebanyak lebih daripada 600 kenderaan lasak 4×4 dan lebih 1,800 peminat dari seluruh dunia.
Selain itu, Sabah juga menjadi tuan rumah kepada beberapa acara larian lasak dan pengembaraan seperti Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM), The Most Beautiful Trail (TMBT), Oceanman, Kadamaian Ultra Race dan Mount Kinabalu International Climbathon.

Menurut kenyataan daripada Majlis Pelancongan Sabah, setelah selesainya perlumbaan antarabangsa itu, terdapat juga debaran lain yang menanti bersesuaian dengan kumpulan pelancongnya yang sukakan kehijauan gunung ganang, hutan hujan purba dan lautan yang mempesona.
“Walaupun acara sudah berakhir, Sabah tetap menjadi tumpuan peminatnya yang gemarkan puncak gunung, denai hutan, jeram deras atau terumbu karang, landskap semula jadi Sabah yang luas, malah ia menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk setiap jenis pengembara,” katanya dalam kenyataan.
Selain Gunung Kinabalu, terdapat juga cabaran tambahan iaitu Via Ferrata yang menawarkan pengembaraan menegak yang mendebarkan dengan palang besi dan jambatan gantung di sepanjang permukaan granit.
“Untuk cabaran yang lebih lasak, Gunung Trus Madi (setinggi 2,642m), puncak kedua tertinggi di Malaysia juga menawarkan pengalaman yang lebih sukar melalui hutan berlumut serta denai-denai curam.

Selain itu terdapat puncak Gunung Sinsing (2,586m), Gunung Tambuyukon (2,579m), dan Gunung Kaingaran (2,468m) menanti mereka yang ingin menguji kemampuan diri.
Setiap puncak menawarkan gabungan cabaran dan keindahan tersendiri, memberi ganjaran kepada para pendaki dengan pemandangan panoramik serta kepuasan menakluk gunung-gunung tertinggi di Malaysia.
Bagi yang meminati pengalaman meneroka jeram, pelancong boleh melawat Kiulu atau Tenom untuk menikmati pengalaman arung jeram terbaik di Malaysia.
“Jika ini adalah pengalaman pertama anda atau semasa bercuti keluarga dan mencari sedikit keseronokan sambil menyejukkan badan, anda pasti menyukai pengalaman arung jeram Gred I–II yang indah di Sungai Kiulu, berhampiran Tamparuli.
“Sungai Padas, yang terletak berhampiran Tenom, pula sangat mencabar dengan deras jeram Gred III–IV, popular dalam kalangan pengemar aktiviti lasak kerana kelajuan, limpahan airnya dan keseronokan yang luar biasa,” ujarnya.

Bagi peminat percutian di pulau, landskap Sabah terbuka luas untuk mereka yang menghayati pengalaman meneroka pelbagai pulau indah yang terdapat di negeri tersebut.
Pulau Sipadan adalah antara tapak selaman terbaik dunia yang menawarkan panorama bawah laut yang indah, dengan potensi melihat pusaran kumpulan barracuda, yu terumbu karang, penyu laut, serta pembentukan unik geologi tebing laut yang menjunam ke dalam lautan biru yang dalam.
Pulau-pulau berdekatan seperti Mabul dan Kapalai juga menawarkan pengalaman melihat hidupan marin yang berwarna-warni serta resort atas air yang menggabungkan keselesaan dengan pengembaraan.
“Untuk lokasi yang lebih dekat dengan Kota Kinabalu, Taman Marin Tunku Abdul Rahman menyediakan aktiviti snorkel dan selaman yang mudah dicapai, dengan hanya 20 minit perjalanan bot dari pusat bandar.
Selain, itu pengemar pengembaraan di hutan pula, Lembangan Maliau, yang sering digelar “Sabah’s Lost World” merupakan kawasan hutan hujan luas yang belum terusik, seakan-akan taman prasejarah.
Ia menempatkan air terjun bertingkat, flora dan fauna yang jarang ditemui, serta denai-denai yang mencabar sekalipun kepada pendaki yang berpengalaman.

Antara pilihan lain ialah melawat Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, salah satu hutan hujan tertua di dunia.
“Di sini, para pengembara berpotensi untuk melihat orang utan, gajah Borneo, dan harimau dahan selain laluan kanopi menawarkan pemandangan udara yang menakjubkan, manakala ‘night safari’ memperlihatkan hidupan liar nokturnal kawasan inii
Bagi mereka yang mencari kelainan dalam melalui perjalanan road trip’ dengan pengalaman lebih santai tetapi tetap memuaskan bolehlah memandu melalui daerah Tambunan, Keningau, dan Tenom, kawasan yang dipenuhi dengan jalan pergunungan berliku, air terjun, dan perkampungan yang indah.
“Singgahlah di homestay tempatan untuk merasai layanan mesra rakyat Sabah serta mencuba hidangan tradisional seperti hinava atau tuhau.
“Untuk pengemar pesisir pantai, laluan dari Kota Belud ke Kudat menawarkan pemandangan indah melalui kawasan sawah padi serta perkampungan Bajau dan Rungus sebelum berakhir di Tip of Borneo, tempat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














