fbpx
Keadaan trak pikap dinaiki mangsa selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu. IHSAN POLIS

Wanita lemas, Toyota Hilux hanyut kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang wanita warga Indonesia lemas selepas trak pikap dinaiki bersama majikan dan isterinya yang sedang dalam perjalanan ke sebuah ladang kelapa getah dihanyutkan arus deras kepala air di Kampung Pulai di sini pada Khamis lalu.

Mangsa, Yeni Susilowati, 39, dijumpai terdampar oleh orang awam di tebing sungai itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mangsa menaiki sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux bersama seorang lelaki dan seorang wanita warganegara Thailand yang merupakan pasangan suami isteri kira-kira pukul 8.30 malam pada Khamis lalu.

Katanya, sewaktu melalui sebuah jambatan untuk ke ladang tersebut, kenderaan itu dipercayai telah dihanyutkan oleh kepala air sungai.

“Majikan dan isterinya sempat menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap trak pikap itu, namun mangsa telah hanyut dibawa arus.

“Orang awam menjumpai mangsa yang sudah meninggal dunia di tebing sungai lebih tujuh jam kemudian kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Choon Foo berkata, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang membawa wanita ke hospital dan petugas kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati, kematian mangsa berpunca daripada saluran pernafasan tersumbat dengan lumpur dan air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI