PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada kaitan persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias berkaitan siasatan Op Sohor.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan tersebut masih berjalan selain kes berkenaan juga sudah ada pertuduhan dibuat sebelum ini.
“Siasatan Op Sohor tiada kena kaitan persaraan kedua-dia mereka. Kita (SPRM) juga tiada maklumat berkaitan persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan persaraan Mohd. Nizam dan tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terbabit kes penyeludupan dadah Ogos lalu.
Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.
Mohd. Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos manakala Mohd Razali pada Disember 2026.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan lima pegawai perisik tentera daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan disyaki didalangi pegawai kanan ATM terbabit yang beroperasi di selatan tanah air.
Selain pegawai ATM itu, dua wartawan dan seorang wanita warga asing ialah antara 10 individu direman SPRM hasil pelaksanaan Op Sohor. – KOSMO! ONLINE















