Dalam era ketidaktentuan global yang direncanakan oleh krisis pelbagai dimensi, kemenangan Zohran Mamdani dalam pilihan raya New York baru-baru ini mencetuskan satu fenomena politik yang melampaui sempadan geografi dan ideologi.
Sebagai wakil gerakan sosialis demokratik yang semakin populis, Mamdani bukan sekadar mewakili satu alternatif kepada pengukuhan politik tradisional, tetapi membawa satu naratif transformatif yang berpotensi mengubah paradigma hak kemanusiaan sejagat dan hubungan antarabangsa.
Kebangkitan politik progresif yang diwakili Mamdani menandakan satu revolusi dalam naratif hak kemanusiaan sejagat. Selama beberapa dekad, wacana hak asasi manusia antarabangsa terperangkap dalam dikotomi yang menyempit antara hak sivil dan politik versus hak ekonomi, sosial dan budaya.
Agenda Mamdani memperjuangkan penjagaan kesihatan sebagai hak asasi, perumahan yang terjangkau sebagai keperluan asas dan pendidikan awam percuma sebagai infrastruktur sosial. Secara tidak langsung, ia menghidupkan kembali semangat Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang asal.
Pendekatan holistik ini mempunyai implikasi yang mendalam terhadap kedudukan Amerika Syarikat dalam dialog hak asasi manusia global. Selama ini, Amerika sering dikritik kerana sikap selektifnya dalam memperjuangkan hak asasi manusia secara tegas dengan membela kebebasan bersuara di negara lain, tetapi lemah dalam menangani ketidaksamaan ekonomi domestik.
Ironinya, naratif Mamdani menawarkan penyelesaian terhadap dilema ini dengan menegaskan bahawa kredibiliti moral sesebuah negara di pentas global bergantung kepada keupayaannya untuk memenuhi keseluruhan spektrum hak asasi manusia, bukan hanya segmen tertentu sahaja.
Dalam konteks geopolitik domestik Amerika, kebangkitan Mamdani mencerminkan satu peralihan kuasa yang lebih besar yang sedang mengubah landskap politik negara.
Kelompok progresif dalam Parti Demokrat bukan lagi sekadar kumpulan minoriti, tetapi telah berkembang menjadi kuasa penggerak yang signifikan yang mampu mempengaruhi agenda nasional.
Transformasi ini mempunyai implikasi langsung terhadap kedudukan Amerika dalam hierarki kuasa global.
Dalam hal dasar luar dan keselamatan, golongan progresif konsisten menentang militarisme yang berleluasa dan campur tangan ketenteraan di luar negara. Mereka mempersoalkan doktrin exceptionalism Amerika yang menjadi asas kepada banyak operasi ketenteraan AS di luar negara sejak Perang Dunia Kedua.
Dalam dimensi ekonomi, kritikan progresif terhadap globalisasi neoliberal mencabar konsensus bipartisan yang menyokong perdagangan bebas tanpa sekatan. Pendekatan mereka yang menekankan perdagangan adil dan perlindungan pekerja berpotensi mengubah corak hubungan ekonomi antarabangsa Amerika.
Kebangkitan
Fenomena Mamdani tidak wujud dalam vakum politik. Ia merupakan sebahagian daripada gelombang progresif global yang semakin gaining momentum, dari kemunculan Bernie Sanders di Amerika Syarikat kepada Jeremy Corbyn di United Kingdom, dan parti-parti kiri progresif di Amerika Latin dan Eropah.
Kebangkitan jaringan global ini mencipta satu blok progresif transnasional yang berpotensi mengimbangi hegemoni neoliberal dan populisme sayap kanan yang semakin meluas.
Blok progresif global ini berkongsi visi bersama mengenai tadbir urus global yang berdasarkan prinsip solidariti antarabangsa dan hak asasi manusia yang komprehensif. Mereka menolak keuntungan yang setara dengan kerugian dalam hubungan antarabangsa dan sebaliknya menganjurkan kerjasama global untuk menangani cabaran bersama seperti ketidaksamaan, perubahan iklim, dan krisis penghijrahan.
Pendekatan ini berpotensi mereformasi institusi multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, dan Bank Dunia yang sering dikritik kerana mengabadikan ketidaksamaan global.
Dalam pertarungan naratif global yang semakin sengit antara demokrasi liberal dan autoritarianisme, progresifisme yang diwakili Mamdani menawarkan naratif ketiga yang berpotensi mengubah dinamik persaingan ideologi ini.
Sementara China mempromosikan model pembangunan autoritarian yang menekankan pertumbuhan ekonomi atas kos kebebasan politik, dan Rusia mempromosikan nasionalisme konservatif, progresif Amerika menawarkan visi yang menolak dikotomi sempit ini.
Implikasi masa depan
Visi progresif menegaskan bahawa demokrasi bukan sekadar prosedur pilihan raya, tetapi termasuk keupayaan untuk mencipta masyarakat yang lebih adil dan saksama. Dengan menunjukkan bahawa demokrasi mampu menghasilkan polisi yang meningkatkan kesejahteraan rakyat biasa.
Sebagai contoh, penjagaan kesihatan sejagat dan pendidikan percuma progresifisme menjawab secara efektif kepada naratif autoritarian yang mendakwa demokrasi liberal tidak mampu memberikan hasil material kepada warganya.
Kebangkitan progresifisme yang diwakili figura seperti Mamdani mempunyai implikasi penting untuk masa depan kepimpinan global. Pendekatan tradisional Amerika terhadap kepimpinan global sering berasaskan superioriti ketenteraan dan penguasaan ekonomi.
Progresifisme mencadangkan model kepimpinan global yang berbeza satu yang berdasarkan contoh moral, kerjasama, dan komitmen kepada keadikan global. Model kepimpinan ini menekankan bahawa Amerika harus memimpin bukan melalui paksaan, tetapi melalui teladan dengan membina masyarakat yang adil dan saksama di dalam negara sendiri, dan dengan bekerjasama dengan negara lain untuk menangani cabaran global.
Pendekatan ini berpotensi memulihkan imej Amerika di mata dunia dan memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam komuniti antarabangsa.
Kemenangan Mamdani merupakan lebih daripada sekadar kejayaan pilihan raya tempatan, ia merupakan penanda aras dalam evolusi politik global. Kebangkitannya mewakili satu transformasi paradigma dalam wacana hak asasi manusia, hubungan antarabangsa, dan tadbir urus global.
Dalam dunia yang menghadapi krisis eksistensial yang memerlukan penyelesaian global, naratif progresif yang menekankan solidariti, keadilan, dan hak asasi manusia yang universal menawarkan harapan untuk masa depan yang lebih mampan dan saksama.
Kebangkitan Mamdani dan rakan seperjuangannya di seluruh dunia mungkin hanya permulaan kepada satu transformasi global yang lebih besar menuju tatanan dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
Prof Madya Dr Shuhairimi Abdullah ialah Ketua Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis















